DUNIA

Sesi Khas Who: China Ketengah Pendirian Berhubung Isu Palestin-israel 

11/12/2023 04:53 PM

GENEVA, 11 Dis (Bernama-CMG) -- Perkara paling mendesak ketika ini  adalah untuk menggalakkan gencatan senjata dan menghentikan keganasan di Semenanjung Gaza, demikian kata Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Chen Xu.

Beliau berkata China menyeru supaya semua pihak yang terbabit bersikap tenang dan mengambil pendekatan yang rasional supaya membolehkan rakyat tempatan dapat menjalani semula kehidupan dalam suasana yang aman.

“Masyarakat antarabangsa terutamanya negara yang mempunyai pengaruh besar dalam isu Palestin-Israel digesa supaya memikul tanggungjawab bagi mendorong gencatan senjata secara menyeluruh dicapai untuk suatu jangka masa yang panjang, sambil bertindak pantas melindungi hak kehidupan dan kesihatan rakyat jelata.

“Adalah mustahak untuk menyelesaikan krisis kesihatan. Semua pihak harus berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan kakitangan perubatan dan kemudahan kesihatan serta menyokong aktiviti WHO dan pertubuhan kemanusiaan lain.

"Bantuan kemanusiaan seperti ubat-ubatan dan peralatan rawatan yang amat diperlukan perlu disalurkan untuk merawat mangsa yang cedera. Penghantaran bantuan itu mesti dilakukan segera dan membantu Palestin membina semula prasarana perubatan dan rawatan," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sesi khas berhubung situasi kesihatan di wilayah Palestin yang diduduki anjuran Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di sini pada Ahad. 

Chen turut menitikberatkan bahawa 'penyelesaian dua negara' adalah satu-satunya pilihan yang ada untuk menyelesaikan kebuntuan dalam isu berkenaan. 

"Rundingan damai Palestin-Israel patut disambung semula dengan secepat mungkin bagi memastikan 'penyelesaian dua negara' dapat direalisasikan serta membantu rakyat Palestin menikmati hak mereka secepat mungkin untuk menubuhkan negara mereka sendiri dan kembali menjalani kehidupan di kampung halaman mereka," tambah beliau.

Chen berkata sejak tercetusnya konflik itu, China telah menghulurkan bantuan kewangan kepada Palestin dan institut-institut di bawah PBB melalui pelbagai saluran serta bahan makanan dan ubat-ubatan ke Semenanjung Gaza.

Negara Tembok Besar itu bersedia untuk terus memberikan bantuan kemanusiaan kecemasan kepada rakyat Gaza berdasarkan keperluan mereka.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan