AM

Wccf Lancar Inisiatif Global Bantu Kanak-kanak Terkesan Dengan Peperangan

15/12/2023 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Pertubuhan World War Children Care Foundation (WCCF) secara rasmi melancarkan misi kemanusiaan antarabangsanya ke arah membantu kanak-kanak yang terkesan akibat peperangan, dengan majlis angkat sumpah jawatankuasanya hari ini.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berdaftar di Malaysia, objektif utama yayasan itu adalah untuk menyelamatkan dan memulihkan kanak-kanak yang tinggal di zon konflik, di samping menyediakan peluang pendidikan yang boleh memupuk pertumbuhan fizikal dan mental kanak-kanak.

Presiden WCCF Linda Wong berkata tahun depan yayasan itu akan menerajui program "Dove Aid Operation" (DAO) dengan kerjasama rapat organisasi antarabangsa, melalui pendekatan holistik yang bertujuan untuk mengeluarkan kanak-kanak dari zon perang, dan menawarkan mereka tempat berlindung yang selamat.

"Bersama-sama, kita akan mengenal pasti kawasan selamat yang paling diperlukan, menghimpunkan pasukan yang terdiri daripada petugas perubatan, pekerja sosial, dan sukarelawan yang berdedikasi, serta mengedarkan bekalan penting seperti makanan, ubat-ubatan dan tempat tidur," katanya dalam ucapannya semasa pelancaran WCCF disini hari ini.

Beliau berkata yayasan itu merancang untuk menubuhkan Sekolah Kemanusiaan bagi Kanak-kanak Pelarian Perang di Malaysia dan China, yang akan membawa kanak-kanak terkesan akibat perang daripada pelbagai latar belakang, bangsa, agama dan budaya ini ke alam persekolahan, di bawah kurikulum Pendidikan Penyayang yang dibimbing Kumpulan Pendidikan Yi Hai.

Beliau berkata matlamat kurikulum sekolah itu adalah untuk menyokong kanak-kanak berkenaan secara beransur-ansur menghilangkan kesan psikologi yang menyelubungi mereka, menghilangkan rasa benci, memulihkan dan menghidupkan semula keyakinan.

"Kami berhasrat untuk mempamerkan kekuatan dan keberanian luar biasa kanak-kanak mangsa perang itu semasa mereka kembali ke dalam masyarakat, menjadi individu penuh ihsan yang menyumbang untuk membina semula kediaman mereka dan menjaga orang lain yang memerlukan.

"Pada masa ini, berpuluh-puluh ribu kanak-kanak di seluruh dunia masih menanggung kesukaran akibat peperangan. Kanak-kanak ini bukan sahaja memerlukan penjagaan, sokongan dan kasih sayang kita, tetapi juga tindakan segera. Sehubungan itu kami menyeru organisasi perniagaan dan individu yang murah hati untuk berganding bahu dengan kami bagi tujuan murni ini,” katanya.

Yayasan itu turut melancarkan kempen amal perniagaan "Healing the World Thru Business", dengan sumbangan korporat pertama yang komited kepada yayasan melalui hasil perniagaan berterusan Green Smart Planet Platform, dimulakan dengan penyampaian ‘replika cek’ RM1,217,000.

Di samping itu ia turut melancarkan kempen "Saving War Children with Your Cup of Coffee" yang menyaksikan para hadirin secara sukarela mengambil bahagian dengan mengguna pakai cawan kopi premium yang disampaikan oleh Clemént Coffee Boutique, dan semua keuntungan disumbangkan kepada yayasan berkenaan.

Yayasan itu telah melantik wakil untuk pelbagai bahagian di Malaysia, China, Serbia, Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina, Vietnam, Kemboja, Brunei, Laos, Myanmar, Hong Kong dan Taipei.

Majlis pelancaran turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Wan Noraidah Wan Mohd Zain bagi pihak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan