AM

SARAWAK METRO RAIH ANUGERAH PENCAPAIAN KUALITI ESQR 2023

13/12/2023 10:34 PM

KUCHING, 13 Dis (Bernama) -- Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) baru-baru ini menerima Anugerah Pencapaian Kualiti 2023 (Kategori Emas) daripada Persatuan Eropah bagi Penyelidikan Kualiti (ESQR).

Sarawak Metro dalam kenyataannya hari ini memaklumkan ia adalah bukti komitmen syarikat itu ke arah kecemerlangan dalam perkhidmatan dan pengurusan selepas kejayaannya memperoleh tiga sijil ISO pada tahun ini iaitu Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015, Sistem Pengurusan Alam Sekitar ISO 14001:2015, dan Sistem Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan ISO 45001:2018.

Menurut kenyataan itu anugerah dan sijil yang diterima tahun ini akan menguatkan lagi iltizam untuk terus meningkatkan kualiti dan menambah baik serta meletakkan penanda aras lebih tinggi bagi projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Mazli Mustaffa menerusi kenyataan sama menegaskan  pengiktirafan itu memperkukuh komitmen Sarawak Metro untuk terus cemerlang.

“Ketika kita akan melangkah ke 2024, anugerah ini memberi insipirasi untuk meningkatkan lagi tahap kita bagi memenuhi harapan tinggi pihak berkepentingan.

“Anugerah terbaharu ini mendorong kami untuk terus berinovasi dan menambah baik bukan sahaja untuk mengekalkan tetapi juga meningkatkan kualiti perkhidmatan kami, membuktikan bahawa masih ada ruang untuk terus berkembang dan cemerlang,” katanya. 

Sarawak Metro, yang merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC),  telah diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri sebagai pemaju, pengendali dan penyelenggara projek KUTS.

Objektif utama projek KUTS adalah untuk mengubah sistem pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuching, dengan tulang belakang projek ialah pengenalan kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen dengan pelepasan karbon sifar. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan