KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memberi jaminan siasatan terhadap kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak akan dihentikan meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.
"Kes ini tidak diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.
"Siasatan masih diteruskan bagi mencari petunjuk dalam menyelesaikan kes ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilapor hilang pada 5 Dis tahun lepas di Damansara Damai di sini, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dan masih menunggu maklum balas berkaitan semakan pangkalan data bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autistik itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial