JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Manjung Lupus Barang Kes Bernilai Rm1.16 Juta

09/01/2024 01:36 PM

MANJUNG, 9 Jan (Bernama) -- Polis Manjung hari ini melupuskan barangan kes bernilai RM1.16 juta bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata kesemua barangan rampasan itu melibatkan 254 kertas siasatan kes perjudian, bitcoin dan barangan kontraban (rokok) yang telah selesai tindakan pendakwaan.

"Kesemua kes ini telah dirujuk ke mahkamah dan pejabat Timbalan Pendakwa Raya serta telah mendapat arahan pelupusan. Pelupusan barang kes yang selaras dengan undang-undang dan prosedur operasi standard memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak agar tiada sebarang penyalahgunaan kuasa dan ketirisan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Bahagian Siasatan Jenayah Siri 1/2024 di sini hari ini, yang turut dihadiri Majistret Mahkamah Seri Manjung Nurul Izalina Rajaai.

Rampasan kes perjudian katanya, membabitkan 284 peralatan seperti telefon bimbit, manakala kes kontraban melibatkan 11,590 karton rokok pelbagai jenis dan pelupusan kes bitcoin pula sebanyak 1,063 peralatan.

Mohamed Nordin berkata pelupusan dilakukan secara kaedah pelupusan terjadual iaitu e-sisa dan sisa pepejal di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Sementara itu, ditanya mengenai kes dua rangka manusia ditemukan di atas bumbung bangunan bersebelahan sebuah bank di Sitiawan pada 16 Okt tahun lepas, beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, pihak polis percaya kedua-dua rangka itu sudah terlalu lama berikutan pemeriksaan mendapati ia amat reput dan mangsa kemungkinan ialah warga asing.

"Kami telah memanggil enam saksi awam bagi membantu siasatan setakat ini," katanya.

Pada hari kejadian, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan penemuan berkenaan pada 10.20 pagi dan hasil pemeriksaan telah menjumpai dua rangka manusia tanpa jantina dan identiti serta sehelai bendera Perak, beberapa potongan pita pelekat berwarna hitam, cebisan kain bercorak warna-warni dan cebisan kain bendera Perak.

Turut ditemukan di lokasi terbabit ialah cebisan kemeja putih kotor, sarung bantal biru, bungkusan plastik merah berisi disyaki tengkorak manusia dan sebilah pisau berhulu plastik hitam.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan