AM

KEDAI CUCI KENDERAAN SIMPAN AIR UNTUK TERUS BEROPERASI

09/01/2024 10:17 PM

GEORGE TOWN, 9 Jan (Bernama) -- Peniaga yang bergantung kepada bekalan air untuk beroperasi di Pulau Pinang telah melakukan persiapan awal termasuk menyimpan air supaya kedai mereka dapat beroperasi sekurang-kurangnya dua hari ketika berlaku gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula esok.

Namun ada juga yang terpaksa menutup kedai pada dua hari pertama kerana simpanan air tidak mencukupi bagi menjalankan peniagaan termasuk kedai cuci kenderaan dan kedai dobi.

Mohd Soleh Abdul Razak, 45, yang mengusahakan kedai mencuci kenderaan di Bukit Mertajam, berkata beliau menyediakan tiga tangki air tambahan iaitu sebanyak 1,000 gelen kerana menyedari tekanan di kawasan itu rendah selain bimbang bekalan lambat pulih.

Beliau berkata bagaimanapun, ia hanya mencukupi untuk tempoh dua hari dan jika masih tidak mendapat bekalan air, kedainya mungkin terpaksa ditutup sehingga gangguan itu pulih.

"Selalunya kami terima sehingga 50 kenderaan sehari dan dengan jumlah air di dalam tangki simpanan, kemungkinan cukup sehari dua sahaja dan terpaksa tutup kedai dulu la, cuma gaji pekerja mesti bayar seperti biasa.

"Saya harap bekalan air dapat pulih cepat supaya kami dapat beroperasi seperti biasa... rasanya selama 20 tahun berniaga cuci kenderaan, ini kali pertama gangguan bekalan air lebih dari dua hari tapi masih okey sebab dimaklumkan awal," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi pengusaha kedai mencuci kenderaan di Perai K.Suraindran berkata beliau terpaksa menghentikan operasi selama dua hari mulai esok ekoran gangguan bekalan air berjadual itu.

Beliau berkata simpanan yang ada tidak mencukupi untuk kedainya beroperasi kerana mencuci kenderaan memerlukan air yang banyak.

"Simpanan yang ada hanya cukup untuk pekerja sahaja kerana mereka tinggal di asrama yang syarikat sediakan," katanya sambil menambah kebanyakan mereka adalah bekas banduan.

Berbeza pula dengan seorang lagi pengusaha perniagaan sama di Batu Uban yang enggan namanya disiarkan kerana beliau akan meneruskan operasi sepanjang empat hari itu kerana mendapat bekalan air dari telaga berhampiran kedainya.

"Kami beroperasi seperti biasa kerana ada alternatif bekalan air dari telaga, sebelum inipun kalau ada gangguan bekalan memang guna air ini, cuma ia boleh digunakan untuk cuci kenderaan sahaja, tak boleh guna untuk minum atau memasak," katanya.

K. Pichay, 72, yang merupakan pengusaha dobi tradisional di penempatan Dobi Ghaut di sini, pula berkata beliau tiada pilihan selain menutup operasi sepanjang gangguan itu kerana mencuci pakaian memerlukan air yang banyak.

"Kena tutup sebab air tak cukup nak operasi… air yang disimpan cukup untuk kegunaan kami sahaja, lepas bekalan air sudah pulih kami buka semula," kata beliau yang mewarisi perniagaan itu daripada bapanya sejak 40 tahun lepas.

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam dari 6 pagi pada 10 Jan hingga 6 pagi 14 Jan bagi membolehkan penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang dilakukan.

Namun PBAPP menjangkakan sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah (SPT) akan menerima bekalan air selepas 48 jam manakala sebanyak 157 lokasi membabitkan daerah SPT, Seberang Perai Selatan dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan