AM

Myvi Dipandu Lelaki Switzerland Rempuh Stesen Minyak

10/01/2024 01:08 AM

IPOH, 9 Jan (Bernama) -- Sebuah Perodua Myvi merempuh cermin sebuah stesen minyak di Taman Canning di sini hari ini, gara-gara pemandunya seorang lelaki warga Switzerland dikatakan mengalami kekejangan kaki semasa hendak mengisi minyak.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata dalam kejadian pada 10.30 pagi itu, lelaki berusia 77 tahun tersebut yang berada di satu daripada pam minyak sedang membetulkan kenderaannya untuk mengisi minyak sebelum secara tiba-tiba mengalami kekejangan pada kaki kanan.

“Akibat daripada itu, pemandu berkenaan tidak dapat mengawal kenderaannya hingga terbabas ke hadapan lalu melanggar motosikal jenis Yamaha yang diparkir dan merempuh dinding kaca premis berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini 

Bagaimanapun, katanya penunggang motosikal berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata kejadian itu turut menyebabkan seorang wanita yang berada di situ cedera di kaki kanan dan kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Video dan gambar kejadian itu tular di laman Facebook sejak petang tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan