EKONOMI

Anak Syarikat Tuju Setia Raih Kontrak Projek Pembinaan Bernilai Rm209 Juta

12/01/2024 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Tuju Setia Bhd, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd memperoleh kontrak daripada anak syarikat Avaland Bhd, USJ Citypoint Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja kontraktor utama pembangunan bertingkat tinggi Alora Residences di Subang Jaya, Selangor bernilai RM209 juta.

Menurutnya kontrak itu meliputi pembinaan dua blok pangsapuri perkhidmatan, podium tempat letak kereta dan ruangan kemudahan.

“Ia dijangka siap dalam tempoh 33 bulan dengan kerja-kerja buat sementara waktu dijadualkan bermula pada suku kedua 2024,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong berkata pembinaan Alora Residences itu akan membuka peluang kepada Tuju Setia memulakan lebih banyak projek pembangunan hijau daripada pelanggan baharu dan sedia ada di samping terlibat dalam pembangunan Avaland pada masa hadapan.

“Kejayaan menerima kontrak baharu pada awal 2024 merupakan permulaan baik untuk Tuju Setia. Berikutan harga bahan binaan yang stabil baru-baru ini, pemaju hartanah menunjukkan minat untuk melanjutkan rundingan pembidaan untuk projek akan datang.

“Oleh itu, unjuran positif ini membawa petanda baik untuk kami meraih projek baharu dan meningkatkan pendapatan,” katanya.

Alora Residences adalah fasa pertama 2Fifth Avenue, pembangunan bersepadu seluas 5.26 hektar di USJ, Subang Jaya dengan nilai pembangunan kasar RM3 bilion.

Pembangunan bertingkat tinggi itu terletak di tanah pegangan kekal di kawasan kejiranan telah lama berada di Subang Jaya serta mempunyai banyak kemudahan berhampirannya seperti kompleks membeli-belah One City dan Sunway Pyramid serta pusat perubatan dan hospital.

Kawasan ini juga menempatkan pusat pendidikan antaranya sekolah kerajaan dan antarabangsa serta universiti seperti Sunway University dan Taylor’s University. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan