JERTIH, 18 Jan ( Bernama) -- Penuntut jurusan Teknologi Makanan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta sembilan inovasi produk baharu makanan berasaskan ubi keledek variasi vitato (isi oren) dan lembayung (isi ungu) sebagai usaha mendepani pembangunan teknologi makanan masa kini.
Dekan Falkuti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA Prof Dr Hafizan Juahir berkata ciptaan yang dihasilkan menerusi Program Hari Pelancaran Produk Makanan Baharu 2024 itu melibatkan sembilan kumpulan pelajar dikehendaki mencipta produk berasaskan ubi keledek yang merupakan antara tanaman utama di ladang UniSZA Kampus Besut.
“Menerusi program ini juga kita melatih untuk melahirkan saintis dalam bidang teknologi pemakanan dan pada masa sama mendidik mereka sebagai usahawan. UniSZA sentiasa berusaha untuk memastikan setiap produk dihasilkan pelajar dibawa masuk ke dalam pasaran,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Hafizan berkata antara ciptaan tersebut ialah LembaYo Ice Cream iaitu aiskrim atau konfeksi sejuk beku perisa ubi keledek dengan campuran yogurt, Sweetatto Bangkit (biskut berasaskan keledek lembayung), CheezyVitaball (bebola ubi keledek berkeju) dan Cutiebite Gummy Bear (gula-gula kenyal berasaskan ubi keledek oren).
“Ciptaan lain ialah Cheeky Chips (kerepek ubi keledek berperisa paprika), Dotato (donat sejuk beku berasaskan ubi keledek vitato), Sambal Gepto (sambal tumis ubi keledek), Vitatobokki (kuih beras ubi keledek) dan VitAtoff iaitu gula-gula karamel berinti ubi keledek,” katanya.
Beliau berkata produk yang dibangunkan kumpulan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan itu dihasilkan menerusi kajian mendalam terhadap kandungan nutrisi dan tindak balas kimia dalam setiap produk.
Sementara itu, Nur Atiqah Hanis Mahyudin, 23, berkata produk LembaYo Ice Cream yang dihasilkan kumpulan itu memiliki kombinasi manis dan masam daripada yogurt, ubi lembayung dan salutan sirap ubi lembayung.
“Kami mengambil masa selama tiga bulan mengkaji pelbagai aspek untuk menghasilkan produk ini dan sangat gembira kerana dipilih sebagai pemenang pertama setelah dinilai oleh juri daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi lain,” katanya.
Dalam program berkenaan, Sweetatto Bangkit muncul di tempat kedua dan CheezyVitaball pula ketiga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial