AM

PENGORBANAN ALLAHYARHAM GILLIAN DONALD TERUS DIKENANG

02/02/2024 07:13 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 2 Feb (Bernama) -- Keberanian Allahyarham Gillian Donald yang sanggup bergadai nyawa meredah api sehingga mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan keluarga jirannya yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah teres pada 24 Jan lepas, akan terus dikenang masyarakat Labuan.

Dalam menunjukkan solidariti, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong yang diwakili pegawai khasnya Jeremy Wong bersama beberapa ahli DAP Labuan, mengunjungi keluarga Gillian untuk menyampaikan ucapan takziah di rumah mereka di Merinding Garden, di sini hari ini.

Keberanian Gillian, 41, yang disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas dipercayai disebabkan terhidu asap yang berlebihan selepas memastikan keselamatan jirannya, sudah pasti akan kekal dalam sanubari mereka.

Sim menerusi Wong, menyerahkan sumbangan kepada balu Gillian, 39, Siti Juana Maarop dan tiga anak mereka berusia 15, 13, dan empat tahun untuk meringankan beban kewangan mereka.

“Steven Sim, yang tersentuh dengan keadaan keluarga itu selepas kehilangan tunggak keluarga, turut menyelaraskan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk bantuan sewajarnya,” kata Wong kepada Bernama semasa kunjungan itu.

“Keberanian dan pemikiran pantas Gillian bukan sahaja telah menyelamatkan nyawa tetapi juga menjadi contoh wira sejati,” katanya.

Tragedi itu bagi keluarga Allahyarham, terutama anak-anak Gillian yang berusia 15 dan 13 tahun, bersekolah di SMK Pantai dan SMK Rancha-Rancha sudah pasti meninggalkan kenangan sedih.

Tindakan berani Gillian adalah amat terpuji kerana berjaya menyelamatkan tujuh sekeluarga termasuk kanak-kanak empat tahun dan warga emas berusia 67 tahun. 

Kesungguhannya untuk mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap di bahagian atas rumah dengan menggunakan tangga ketika rumah itu sedang dijilat api, menggambarkan keluhuran hati budinya.

Siti Juana yang sebak ketika menceritakan mengenai keberanian suaminya berkata sebaik melihat garaj di rumah jirannya itu meletup dan terbakar, Gillian tidak teragak-agak untuk segera memberi bantuan. 

"Gillian telah bertungkus lumus tanpa menghiraukan panas dan asap tebal untuk menyelamatkan setiap mangsa. 

“Keberaniannya tanpa batas, meredah api dengan satu matlamat untuk menyelamatkan nyawa,” kata Siti Juana dengan linangan air mata.

Malangnya usaha murni Gillian meragut nyawanya sendiri, akibat tersedut asap berlebihan.

“Kami reda atas pemergiannya kerana masanya telah tiba dan beliau 'diambil’ kerana Allah lebih menyayanginya,” kata Siti Juana yang turut berbangga dengan pengorbanan suaminya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan