AM

PERSIAPAN AIDILADHA TERGENDALA, RUMAH WARGA EMAS TERBAKAR HAMPIR 90 PERATUS

12/06/2024 03:42 PM

TANAH MERAH, 12 Jun (Bernama) -- Hasrat warga emas wanita untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga terpaksa dilupakan selepas rumah yang didiaminya sejak lebih 50 tahun lalu terbakar hampir 90 peratus awal pagi tadi, hari ini.

Kamariah Abdullah, 78, yang mesra dipanggil Mok Yah berkata ketika kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, beliau sedang menunaikan solat subuh sebelum dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran itu oleh cucunya Muhammad Reezky Abdullah, 13.

"Saya berasa terkejut kerana api marak dengan cepat dan saya bersama dua anak serta empat cucu termasuk bayi berusia lapan bulan segera keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

"Kerugian dianggarkan hampir RM200,000 akibat kebakaran ini yang melibatkan wang tunai, dua buah kereta, sebuah motosikal, barangan elektrik dan perabot rumah," katanya ketika ditemui Bernama dekat rumahnya di Kampung Jakar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamariah yang menghidap penyakit darah tinggi berkata walaupun barangan keperluan dapur untuk penyediaan masakan pada Aidiladha belum dibeli lagi tetapi kesemua anak-anaknya sudah menyatakan hasrat untuk meraikannya di rumah berkenaan.

"Setakat ini, saya belum fikir lagi tempat anak-anak berkumpul untuk laksanakan ibadah korban, kalau boleh saya nak buat dekat rumah saya, tetapi tengok pada keadaan dahulu sama ada sesuai atau tidak," katanya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kejadian pada 6.36 pagi dan 12 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang dan Tanah Merah digegaskan ke lokasi.

"Setibanya pasukan di lokasi, benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 30 x 50 kaki persegi dengan kemusnahan 90 peratus," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan