GEORGE TOWN, 15 Feb (Bernama) -- Sebanyak 162,548 atau 12.9 peratus penduduk Pulau Pinang telah mendaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat semalam, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Chow berkata penduduk di negeri itu diseru untuk segera membuat pendaftaran agar maklumat lebih tepat dan terkini dapat dikemas kini bagi kemudahan sistem penyampaian kerajaan.
"Semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas digalakkan mendaftar atau mengemas kini maklumat masing-masing bagi memastikan tiada yang tercicir.
"Analitik yang tepat akan memastikan keputusan penting kerana kerajaan mahu menggunakan maklumat berkenaan untuk pelaksanaan insentif kepada rakyat terutama golongan memerlukan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pulau Pinang menyasarkan 1.2 juta atau 80 peratus penduduk negeri untuk mendaftar PADU.
"Kita masih jauh lagi untuk mencapai matlamat disasarkan, oleh itu kita perlu tambah baik publisiti supaya lebih ramai rakyat sedar untuk tampil ke hadapan mendaftar," katanya.
Daerah Timur Laut mencatatkan pendaftaran tertinggi dengan 48,916 orang diikuti Seberang Perai Utara (35,555), Seberang Perai Tengah (33,323), Barat Daya (24,117) dan Seberang Perak Selatan (20,627).
Ketika ini, DOSM dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPEN) Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pelbagai agensi kerajaan telah membuka 270 kaunter bergerak di beberapa lokasi seluruh negeri sejak 2 Jan lepas bagi membantu orang ramai mendaftar dengan PADU.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial