AM

Sambutan Hari Peneroka Felda Julai Ini Disasar Tarik Kehadiran 500,000 Pengunjung

16/02/2024 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Seramai 500,000 peneroka dan warga FELDA dari seluruh negara dijangka hadir ke sambutan Hari Peneroka FELDA yang dijadualkan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang selama tiga hari bermula 12 Julai ini.

Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda Datuk Mohd Banuri Aris berkata sambutan kali ini akan menampilkan beberapa kelainan dengan mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik.

"Tahun ini kita siapkan dengan satu landskap berbeza berbanding tahun-tahun lepas. Biasanya kita sambut sekadar satu hari atau satu malam dan setiap tahun cuma dihadiri lebih kurang 10,000 orang, jadi tahun ini kita buat kelainan, kita anjurkan program ini selama tiga hari dua malam. 

“Kita akan ketengahkan peneroka  yang  berjaya untuk bersama-sama  berkongsi pengalaman dan idea untuk terus ke hadapan. Kemeriahan kali ini akan menjadi satu kebanggaan kita satu hari nanti," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia siaran Bernama TV, hari ini.

Banuri berkata antara yang akan memeriahkan sambutan nanti ialah pameran dan jualan daripada 317 usahawan, aktiviti sukan serta permotoran. 

Sementara itu, Banuri berkata Karnival Segalanya Felda (KSF) yang bakal berlangsung di Menara FELDA dari 23 hingga 25 Feb ini akan menyantuni segala persoalan dan maklumat yang diperlukan semua warga peneroka.

Beliau berkata KSF adalah program berskala sederhana yang memberi gambaran bahawa pihak pengurusan FELDA cakna dalam menyalurkan maklumat kepada kesemua warga peneroka.

"Kita ada kaunter FELDA yang sedia menjawab segala persoalan. Kita mahu mereka mendapat maklumat terkini dari saluran yang sahih, selain turut ada gabungan peniaga-peniaga yang berjaya untuk membantu memasarkan produk mereka," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan