AM

Kesempitan Hidup Ibu Tunggal Terbela Dengan Bantuan Rumah Sesb

16/02/2024 09:47 PM

RANAU, 16 Feb (Bernama) -- Kesempitan hidup Rose @ Roslina Daimin, 45, bersama empat anaknya terbela apabila ibu tunggal itu menerima sebuah rumah Bantuan Mesra Rakyat (BMR) iaitu projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Saya terharu dan sangat bersyukur atas bantuan ini, apatah lagi sudah tiga tahun saya dan anak-anak menumpang rumah keluarga selepas suami meninggal.

“Saya sangat berterima kasih kepada SESB atas bantuan ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunci rumah yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam di Kampung Langsat di sini hari ini.

Rose berkata sejak pemergian suaminya, dia dan empat anaknya terpaksa bergantung kepada ihsan saudara mara selain menyara keluarga dengan bercucuk tanam dan menjual hasil pertanian.

Sementara itu, Dr Joachim mengucapkan tahniah kepada Rose dan berterima kasih kepada pihak SESB kerana telah memperuntukkan sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan tandas dengan kos pembinaan sebanyak RM75,000. 

“Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan program bantuan rumah seperti ini yang bertepatan dengan usaha untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan luar bandar terus terpelihara,” katanya. 

Beliau turut berharap pihak SESB akan menambah lagi penerima bantuan kebajikan itu pada tahun hadapan sekali gus membantu kerajaan membina prasarana asas seperti rumah untuk penduduk miskin. 

“Dalam hal ini, kerajaan negeri juga akan terus melaksanakan program kebajikan dan pembangunan sosioekonomi berpaksikan rakyat khususnya kepada penduduk miskin yang sudah tersenarai dalam sistem e-Kasih,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yassin, Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau juga Ahli Parlimen Tuaran dan Ketua Pegawai Eksekutif SESB Datuk Mohd Yaakob Jaafar.  

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan