JENAYAH & MAHKAMAH

Jabatan Imigresen Tahan 12 Warga Asing Atas Pelbagai Kesalahan Selepas Serbu Kilang

19/02/2024 04:30 PM

BUKIT MERTAJAM, 19 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 12 warga asing yang terdiri daripada lima lelaki dan tujuh wanita atas pelbagai kesalahan, selepas menyerbu sebuah kilang menjahit dan memborong pakaian seragam di Taman Industri Impian Alma di sini, pagi ini.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang Nur Zulfa Ibrahim yang mengetuai serbuan itu berkata antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memiliki permit atau pas perjalanan sah, selain tinggal dalam negara melebihi tempoh dibenarkan.

Beliau berkata serbuan dalam Ops Mahir selama dua jam bermula 10.30 pagi itu melibatkan 56 anggota Jabatan Imigresen, dan tindakan diambil mengikut Sekyen Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Seramai 130 warga asing diperiksa dalam operasi ini yang terdiri daripada 69 wanita dan 61 lelaki,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas operasi.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan