AM

KES DEMAM MALARIA IMPORT DI TERENGGANU MEMBIMBANGKAN

21/07/2024 05:14 PM

JERTIH, 21 Julai (Bernama) -- Penularan demam malaria melalui kes import di Terengganu agak membimbangkan apabila 24 kes direkodkan daripada keseluruhan 25 kes sejak awal tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata baki satu kes adalah jangkitan malaria daripada haiwan (zoonotik).

“Walaupun kes import iaitu jangkitan yang dibawa oleh warga asing ini menunjukkan penurunan berbanding 30 kes pada tahun lepas ia tetap merisaukan.

“Sebanyak 24 kes malaria import yang disebarkan oleh nyamuk tiruk ini membabitkan etnik Rohingya dan mereka yang datang dari Bangladesh, Pakistan, India serta Papua New Guinea,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Hadhari di sini hari ini.

Beliau berkata peningkatan ketara kes berlaku apabila pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 20 kes malaria dalam kalangan warga asing yang masuk untuk bekerja di tapak pembinaan lebuh raya di Kampung Machang, Hulu Terengganu.

Dr Kasemani berkata ekoran peningkatan kes itu KKM telah membuat saringan di kampung berkenaan dan dua kampung sekitar iaitu di Kampung Kua dan Pengkalan Ajal.

“KKM telah melakukan langkah kawalan di kawasan terlibat antaranya meminta majikan menyediakan penempatan pekerja yang lebih baik untuk memudahkan kerja kawalan penyakit seperti melakukan semburan dinding selain pihak majikan perlu menyediakan kelambu berubat,” katanya.

Beliau berkata individu yang sering melakukan aktiviti memasuki kawasan hutan yang berisiko pula perlu memakai pakaian lengkap yang menutup tubuh, tidur di dalam kelambu berubat dan menggunakan semburan racun serangga nyamuk.

Dr Kasemani juga menasihatkan orang ramai agar mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami gejala malaria seperti demam, sejuk menggigil dan berpeluh serta lemah badan.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan