EKONOMI

Sektor Koko Sumbang Rm8.2 Bilion Kepada Pendapatan Negara Tahun Lepas - Chan Fong

20/02/2024 03:55 PM

KOTA KINABALU, 20 Feb (Bernama) -- Sektor koko menyumbang RM8.2 bilion kepada pendapatan negara pada tahun lepas, meningkat sebanyak lima peratus berbanding RM7.8 bilion pada 2022.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata sebahagian besar daripada jumlah itu disumbangkan oleh pendapatan eksport produk koko separa siap seperti lemak koko dan serbuk koko.

"Di peringkat huluan, keluasan tanaman koko Malaysia adalah seluas 6,123 hektar, meningkat sedikit berbanding keluasan 5,985 hektar pada 2022.

"Peningkatan 138 hektar ini adalah hasil daripada Program Tanaman Baru Koko yang dilaksanakan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Kemampanan Rantaian Bekalan Koko Menerus Teknologi Canggih: Perundingan dengan Industri mengenai Teknologi Canggih Koko 2024 (CICAT2024), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi LKM Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM Datuk Dr Ramle Kasim.

Chan berkata sebanyak 89 peratus keluasan tanaman koko di Malaysia diusahakan oleh pekebun kecil koko, dengan Sabah masih menjadi negeri yang mempunyai keluasan tanaman koko terbesar iaitu 3,572 hektar atau 58 peratus daripada keluasan tanaman koko negara.

Beliau berkata peningkatan permintaan terhadap biji koko dunia membawa kepada kenaikan mendadak harga biji koko dunia.

Menurutnya, di Malaysia harga biji koko kini mencecah RM17 sekilogram berbanding RM8 pada 2022.

Dalam pada itu, Chan berkata, LKM sedang melaksanakan beberapa strategi untuk meningkatkan produktiviti koko seperti memperkasa kecekapan pengurusan kebun menggunakan mekanisasi, data digital dan teknologi Internet pelbagai benda (IoT).

Beliau berkata LKM menerima peruntukan sebanyak RM3 juta untuk melaksanakan mekanisasi dan teknologi dalam pengurusan tanaman koko bagi tempoh 2024 hingga 2025.

Sementara itu mengulas mengenai seminar tersebut Chan berkata ia adalah platform perkongsian maklumat serta pengalaman tentang mekanisasi dan penggunaan IoT, data digital serta Revolusi Industri 4.0 dalam pengurusan penanaman koko masa kini serta potensi penggunaannya pada masa akan datang.

Beliau berkata seminar selama dua hari itu yang dihadiri kira-kira 200 peserta juga menggariskan objektif untuk meningkatkan pengeluaran biji koko dengan meningkatkan kecekapan pengurusan kebun menggunakan teknologi terkini.

"Penggunaan teknologi adalah bagi membangunkan pertanian pintar yang diharapkan dapat menarik minat pengusaha estet atau ladang serta generasi baharu untuk terlibat dalam penanaman koko," katanya.

Turut berlangsung pada program itu ialah majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara LKM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai kerjasama berkaitan penyelidikan, perkongsian sumber dan penglibatan pelajar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan