JENAYAH & MAHKAMAH

Jpj Keluar 781 Notis Kepada Warga Asing Dalam Op Khas

20/02/2024 08:21 PM

KUALA TERENGGANU, 20 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 781 notis saman atas pelbagai kesalahan terhadap warga asing di seluruh negara sepanjang 20 hari Op Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata sebanyak 781 kenderaan turut disita kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah.

"Dalam operasi tersebut kita telah memeriksa 2,500 kenderaan yang dipandu warga asing. Di Terengganu sahaja kita kesan ada 281 kesalahan.

"Kebanyakan pesalah terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Pakistan," katanya pada sidang media Op Khas Motosikal di Kuala Terengganu hari ini.

Sehubungan itu, Lokman memberi amaran tegas kepada mana-mana pemilik kenderaan warga tempatan yang memberi sewa atau menjual kenderaan kepada warga asing.

Menurut beliau mana-mana warga tempatan yang didapati terlibat dalam aktiviti tersebut akan berdepan hukuman keras termasuk disenarai hitam.

"Kebelakangan ini isu kebanjiran warga asing dah jadi isu besar dan kita terima banyak aduan daripada orang ramai.

"Oleh itu JPJ terpaksa ambil tindakan tegas dan menjalankan operasi bersepadu bersama agensi lain untuk menegakkan undang-undang termasuk peraturan jalan raya," katanya.

Dalam pada itu beliau, berkata JPJ juga telah mengeluarkan 63,414 notis saman atas pelbagai kesalahan di seluruh negara sepanjang Op Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan