AM

Johor Sasar Selesai 5 Projek Sakit, 1 Terbengkalai Tahun Ini

21/02/2024 01:41 PM

JOHOR BAHRU, 21 Feb (Bernama) -- Kerajaan Johor menyasarkan untuk menyelesaikan lima projek sakit dan satu projek terbengkalai di empat daerah, yang dianggarkan melibatkan nilai hartanah lebih RM700 juta, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kesemua projek itu melibatkan sebanyak 1,928 unit rumah.

Beliau berkata matlamat itu dilihat dapat dicapai menerusi kerjasama Jawatankuasa Projek Sakit dan Terbengkalai (JSTP) dengan pelbagai pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), 16 pihak berkuasa tempatan dan agensi teknikal.

"Pada 2022 dan 2023, kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan lima projek sakit dengan nilai hartanah kira-kira RM300 juta, pada tahun ini, kita sasarkan untuk menyelesaikan lagi lima projek sakit dan satu projek terbengkalai.

“Dalam tempoh tiga tahun ini dan sehingga hujung tahun ini, nilai hartanah projek sakit dan terbengkalai, yang telah dan akan diselesaikan, akan mencecah RM1 bilion serta membabitkan 3,500 unit," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Homebuyer Review Committee (HRC) di Residensi Larkin Indah di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) Dr Mohd Shahrizan Sahid.

Mohd Jafni berkata projek sakit berkenaan ialah di Taman Sri Unas Permai, Muar; Taman Desa, Tangkak;  Taman Residensi Larkin Indah dan Taman Molek Perdana, Johor Bahru serta Taman Impiana Kulai, Kulai yang melibatkan 1,538 unit rumah, manakala projek terbengkalai ialah 390 unit di Taman Kulai Utama.

Terdahulu, beliau menyerahkan Sijil Notis Milikan Kosong (VP) kepada sebahagian pembeli Residensi Larkin Indah yang sebelum ini pojek terbabit telah tertangguh lebih dua tahun.

Menurutnya residensi di atas tanah seluas 2.81 hektar itu secara keseluruhannya mempunyai 174 unit dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti taska, surau, tadika, taman permainan dan gelanggang badminton.

Projek tersebut merupakan antara enam projek PR1MA di Johor, selain Residensi Taman Nusantara, Residensi Kota Tinggi, Residensi Layangkasa, Residensi Tebrau dan Residensi Pelangi Indah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan