AM

Abdul Taib Ibarat Tokoh Tidak Berhenti Tabur Bakti - Ismail Sabri

21/02/2024 10:24 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud seperti kehilangan seorang tokoh yang tidak berhenti menabur bakti terhadap tanah tumpah darahnya.

Ismail Sabri berkata jasa dan pengorbanan Allahyarham Abdul Taib untuk negara khususnya Sarawak amat besar.

"Sepanjang hayatnya, Allahyarham sentiasa memastikan hubungan di antara negeri serta pusat kekal utuh demi kemakmuran negara terus berkekalan.

"Salam takziah buat keluarga dan seluruh rakyat negeri Sarawak. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman," katanya menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini.

Abdul Taib, 87, yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi tadi.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berduka cita atas pemergian Abdul Taib dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak dan Malaysia.

"Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

"Saya juga berdoa semoga ahli keluarga Allahyarham bersabar menghadapi saat yang mendukacitakan ini," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan