AM

Nbuc, Uda Kongsi Kepakaran Dalam Penyediaan Latihan, Pendidikan Dan Pengalaman Industri

22/02/2024 03:36 PM

KOTA KINABALU, 22 Feb (Bernama) -- Kolej Universiti Borneo Utara (NBUC) dan UDA Holdings Berhad (UDA) menjalin kerjasama bagi perkongsian kepakaran dalam penyediaan latihan, pendidikan dan pengalaman industri sektor penting seperti pembangunan hartanah, hospitaliti dan pengurusan fasiliti.

Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama itu ditandatangan Naib Canselor NBUC Prof Datuk Dr Azimuddin Bahari dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd Salem Kailany dalam satu majlis di NBUC di sini hari ini.

Azimuddin ketika berucap berkata kerjasama itu antara lain membuka peluang kepada pelajar NBUC menjalankan latihan industri di UDA, dan pelajar kolej universiti itu memperoleh peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

“Adanya MoU ini, menyediakan penempatan untuk pelajar latihan amali seperti daripada sekolah perniagaan, hospitaliti kita sudah ada satu platform. Apabila prestasi pelatih itu baik sudah tentu CEO (Mohd Salem) akan serap (bekerja dengan UDA), jadi penting kita ada kerjasama ini,” katanya.

Beliau berkata selain itu sebagai sebuah institusi pendidikan, NBUC memerlukan rakan kerjasama untuk melakukan penyelidikan dan perundingan, justeru kerjasama itu adalah langkah penting dalam merealisasi hasrat tersebut.

“Kita juga memerlukan perkongsian pengalaman industri dan UDA dapat membantu kita dalam perkara ini. Selain itu kita juga dapat adakan lawatan ke UDA untuk belajar,” katanya.

Azimuddin berkata untuk timbal balik pula, NBUC menawarkan pelbagai bidang pengajian untuk UDA terutama bagi kakitangan syarikat itu memperoleh kelulusan dan kemahiran yang diperlukan mereka.

Sementara itu, Mohd Salem berkata perkongsian strategik antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan industri seumpama ini dapat memberikan pemahaman lebih berkesan berhubung trend dan amalan industri masa kini terutama dalam pembangunan hartanah serta pengurusan aset dilaksanakan UDA.

Beliau berkata pengalaman UDA yang melangkaui beberapa dekad boleh digunakan sebagai rujukan bagi mengukuhkan lagi pengetahuan industri kepada bakal lepasan NBUC, serta berupaya menambah baik sukatan pelajaran dan perkongsian pengalaman antara kedua-dua pihak.

“UDA juga bersedia menawarkan latihan industri dan nasihat kepakaran kepada pelajar dan pensyarah NBUC dalam bidang berkaitan tertakluk kepada terma dan syarat, agar dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

“Perkara ini juga memenuhi keperluan peningkatan kemahiran industri untuk generasi baharu dan akan datang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan