AM

Penduduk Kampung Gunung Sali Gesa Selesai Masalah Parit Tersumbat

22/02/2024 05:25 PM

ALOR SETAR, 22 Feb (Bernama) -- Penduduk di Kampung Gunung Sali, di sini menuntut pihak berwajib menyelesaikan segera masalah parit tersumbat yang dikatakan menyebabkan kejadian banjir kilat di kawasan itu sejak beberapa tahun lepas.

Seorang penduduk, Ismail Awang, 59, berkata isu berkenaan menggusarkan kira-kira 2,000 penduduk memandangkan masalah banjir kilat tidak selesai walaupun tindakan membersihkan parit tersumbat telah dilakukan.

Ismail berkata masalah itu mungkin dapat diatasi sekiranya pihak berkuasa dapat melakukan penyusunan semula penduduk setinggan yang mendiami sepanjang tanah rizab Sungai Sali.

"Saya harap dilakukan pembangunan semula, sebab ada rumah setinggan, kita kena tempatkan depa (mereka) balik, dan naik taraf parit serta jambatan yang sesuai.

"Parit juga perlu dilebarkan, kalau ini tak dilakukan, kemungkinan masalah ini tak dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, lebih 20 penduduk mengadakan perjumpaan bersama wakil daripada agensi serta jabatan berkaitan bagi mendapat maklum balas berkenaan tindakan yang dilakukan bagi mengatasi masalah itu.

Seorang lagi penduduk, Abdul Aziz Yahya, 70, berkata masalah banjir kilat kerap berlaku di kawasan itu sejak beberapa tahun lepas yang menyebabkan kerosakan kepada kediaman selain harta benda.

"Hujan lebat dua hingga tiga jam dah cukup untuk menenggelamkan kawasan ini, setiap tahun pasti ada kawasan rendah yang tenggelam sebab air tak boleh lalu untuk ke laut, air tersekat dan naik ke rumah terutama kawasan rendah," katanya.

Bagi Pengerusi Majlis Ketua Kampung Kampung Gunung Sali Abdul Kadir Ali, meskipun masalah banjir telah lama berlarutan, pihaknya yakin Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memiliki perancangan tersendiri dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Sementara itu, Jurutera JPS Kota Setar Ahmad Azri Salleh yang bertemu penduduk hari ini berkata pihaknya telah melaksanakan penyelesaian jangka pendek dengan melakukan kerja-kerja pembersihan sampah dan tumbuhan dalam parit setiap kali menerima aduan.

Beliau berkata selain itu kerja-kerja pengukuhan benteng juga dilakukan di beberapa lokasi di parit terbabit bagi memastikan tiada halangan air untuk mengalir ke laut.

"Bagi rancangan jangka masa panjang, kita nak tengok balik keseluruhan jajaran parit ini sampai keluar ke Sungai Kedah dan laut, kawasan mana aliran airnya tersekat, kita akan naik taraf termasuk membina  jambatan baharu," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan