AM

Sains Terima 914 Aduan Curi Air Sepanjang Tahun Lepas

22/02/2024 06:56 PM

SEREMBAN, 22 Feb (Bernama) -- Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) menerima 914 aduan penguatkuasaan curi air di seluruh negeri ini sepanjang tahun lepas.

SAINS dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, 430 aduan merupakan kes sahih melibatkan 129 akaun komersial dan 301 akaun domestik membabitkan jumlah tuntutan ganti rugi kehilangan air sebanyak RM373,165.

“SAINS akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan melibatkan pengguna komersial dan domestik. Tindakan tegas ini merupakan antara langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil,” menurut kenyataan itu.

SAINS turut meminta pengguna yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air untuk menghubungi talian bebas tol di 1-300-88-6982 dengan setiap butiran peribadi pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Sementara itu dalam kes terbaharu, SAINS memaklumkan sebuah premis komputer di Nilai turut diserbu pada 19 Feb lepas kerana penghuni premis disyaki melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip High Density Polyethlene bersaiz 25mm tanpa melalui sebarang meter.

Jelasnya, ujian klorin telah dilakukan dan terbukti bekalan air digunakan adalah air terawat milik SAINS, selain menyita semua pepasangan serta punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan