AM

Aplikasi Pembelajaran Bahasa Kadazan Jilid Tiga Dilancar

22/02/2024 06:57 PM

KOTA KINABALU, 22 Feb (Bernama) -- Jilid ketiga aplikasi ‘Kadazan Flash Card’ (KFC) telah dilancarkan sebagai usaha memupuk minat mempelajari bahasa Kadazan terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam kenyataan hari ini berkata KFC, yang jilid pertamanya diperkenalkan pada 2018 dengan menyediakan asas bahasa Kadazan, menjadi medium yang berkesan dalam pembelajaran bahasa itu.

Beliau berkata jilid ketiga, yang dilancarkan bersempena Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2024, ditambah kategori baharu dan keupayaan aplikasi itu ditingkatkan bagi memastikan bahasa Kadazan kekal relevan pada abad ke-21 ini.

“Bahasa ibunda perlu dimartabatkan di pentas dunia, selain mengharmonikan suara dalam ‘International Decade of Indigenous Languages’ (IDIL) yang diiktiraf oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Pada pendapat saya, selain bahasa ibunda, kita juga mesti menguasai bahasa kebangsaan dan sekurang-kurangnya satu bahasa antarabangsa.

“Menurut UNESCO, 40 peratus daripada penduduk dunia tidak dapat akses pendidikan dalam bahasa ibunda mereka. Keadaan ini memberi cabaran besar kepada aspek keterangkuman pendidikan dan pemeliharaan kepelbagaian bahasa,” kata Ahli Parlimen Penampang itu.

Kenyataan sama memaklumkan Ewon telah melancarkan aplikasi tersebut secara dalam talian pada satu majlis di sini semalam.

Menurut Ewon aplikasi tersebut menjadi alat bagi memelihara bahasa bukan sahaja dengan mengajar tetapi juga menghidupkan semula warisan dalam format digital yang menarik, sambil menambah usaha progresif oleh Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) itu perlu diberi pujian.

Beliau juga berharap aplikasi itu dapat menyemai minat dalam memastikan bahasa dan budaya terus terpelihara pada masa depan.

Semakan di ‘Google Play Store’ mendapati jilid ketiga aplikasi KFC itu sedia untuk dimuat turun secara percuma. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan