AM

KERJASAMA PERSEKUTUAN DAN NEGERI DIPERKUKUH BAGI JAYAKAN HAWANA 2024

23/02/2024 09:41 PM

KUCHING, 23 Feb (Bernama) -- Kerjasama erat peringkat Persekutuan dan agensi negeri diperlukan bagi menjayakan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, yang bakal berlangsung di bandar raya ini pada penghujung Mei. 

Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nur-ul Afida Kamaludin berkata Bernama selaku sekretariat HAWANA 2024, sedang memperhalusi pengisian program bersama pihak negeri sempena sambutan berkenaan.

“Sebagai contoh, dalam perbincangan pihak kami dengan stesen televisyen milik kerajaan Sarawak TV Sarawak (TVS), mereka bersetuju untuk membantu dari segi publisiti berkaitan HAWANA 2024.

“Bernama selaku agensi pelaksana HAWANA, kami mengharapkan sokongan dan kerjasama di peringkat negeri, bagi sama-sama kita jayakan program ini,” katanya ketika ditemui semasa membuat lawatan ke ibu pejabat TVS, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Pegawai Media TVS Mohamad Sardon Zainal dan Ketua Biro Bernama Sarawak Hamdan Ismail.

Terdahulu, Nur-ul Afida dan sekretariat HAWANA 2024 mengadakan lawatan ke syarikat akhbar tempatan The Borneo Post, serta syarikat minyak dan gas Malaysia milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) bertujuan mempromosikan program itu.

HAWANA 2024 dijadualkan berlangsung bermula pada 25 Mei sehingga ke acara kemuncak pada 27 Mei, serta bakal dihadiri lebih 500 wartawan dari dalam dan luar negeri.

Program yang memasuki edisi keempat itu, akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

​-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan