AM

Tiga Tokoh Media Ziarah Adibah Amin Yang Uzur

04/05/2026 02:44 PM

SUBANG, 4 Mei (Bernama) -- Tiga tokoh media terkenal tanah air menziarahi Tokoh Wartawan Negara Adibah Amin yang kini uzur bagi menyampaikan sokongan serta doa kesejahteraan.

Tan Sri Johan Jaafar, Datuk Abdul Kadir Jasin dan Datuk Seri Wong Chun Wai berkunjung ke kediaman wartawan veteran berusia 90 tahun itu bagi menyatakan penghargaan serta keprihatinan mereka.

Adibah yang disegani dalam dunia kewartawanan dan sastera tempatan, dikenali luas atas sumbangannya kepada industri selain peranannya membentuk generasi penulis dan pembaca menerusi kolum serta buku yang dihasilkannya.

Dalam kunjungan itu, ketiga-tiga tokoh berkenaan turut mengimbau kenangan sepanjang penglibatan mereka dalam dunia media selain berkongsi pengalaman mengenai evolusi profesion serta nilai yang menjadi pegangan sepanjang kerjaya masing-masing.

Mereka turut merakamkan penghargaan mendalam terhadap Adibah yang pernah berkhidmat di New Straits Times dan The Star, sambil menyifatkannya sebagai perintis yang meninggalkan impak besar dalam dunia kewartawanan negara.

Sementara itu, Wong yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyifatkan Adibah sebagai wartawan contoh yang menulis dengan penuh semangat mengenai kesederhanaan dan kepelbagaian budaya.

“Beliau banyak menulis mengenai persamaan serta semangat muhibah rakyat Malaysia. Penulisannya sentiasa dekat di hati masyarakat,” katanya yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan The Star.

Beliau berharap lebih ramai penterjemah muda seperti Adibah akan lahir pada masa hadapan, yang disifatkan sebagai legenda dan idola dalam bidang berkenaan.

Walaupun dalam keadaan uzur, Adibah kekal mesra dan berhemah, mencerminkan semangat serta dedikasi yang mewarnai kerjayanya selama beberapa dekad.

Kunjungan itu turut menggambarkan hubungan erat dalam kalangan warga media selain rasa hormat serta penghargaan tinggi antara satu sama lain.

Kesemua mereka adalah penerima Anugerah Tokoh Wartawan Negara yang mengiktiraf sumbangan cemerlang kepada bidang kewartawanan dan negara.

Seorang lagi penerima Datuk CC Liew yang sebelum ini bersama Sin Chew Daily tidak dapat hadir.

Sejak diperkenalkan oleh Institut Akhbar Malaysia pada 1988, hanya 14 individu menerima anugerah berprestij itu, antaranya Tan Sri A. Samad Ismail, Tan Sri Lee Siew Yee, Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Nordin, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk Ishak Muhammad.

Selain Adibah, Johan (72), Abdul Kadir (78), Liew (87) dan Wong (65) adalah antara penerima yang masih hidup.

 Sementara itu, Johan menyifatkan kunjungan berkenaan sebagai amat bermakna, selain mengangkat Adibah sebagai ikon sasterawan istimewa negara.

Beliau berkata keupayaan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris Adibah dalam penulisan adalah luar biasa, manakala keupayaannya dalam bidang terjemahan wajar dijadikan contoh oleh generasi muda.

"Beliau menulis dalam bahasa Melayu dengan nahu yang betul, tatabahasa yang hampir sempurna dan begitu juga dalam bahasa Inggeris. Ertinya, beliau adalah guru dan munshi bahasa bagi kedua-dua bahasa.

"Satu perkara yang kita harus pelajari daripada Kak Adib ialah keupayaannya memanfaatkan bakat yang dimiliki, bukan sahaja sebagai seorang penulis dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, malah sebagai novelis," katanya.

Abdul Kadir pula menyifatkan Adibah sebagai tokoh istimewa yang memiliki pelbagai bakat termasuk kewartawanan, kesusasteraan dan lakonan.

"Beliau pernah menjadi pengarang saya di akhbar Berita Harian sebelum peranan itu berubah apabila saya pula menjadi pengarang," katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai membaca buku terbaharu Adibah, ‘As I Was Passing (Legacy Edition)’ yang dilancarkan bulan lalu, menghimpunkan koleksi terpilih daripada kolum terkenalnya.

"Ia, bagi saya, adalah tulisan yang sangat ikonik. Beliau bukan sahaja merakamkan kisah silam, malah menjadi contoh kepada generasi muda," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan