EKONOMI

Pencarian 50 PMks Terbaik Bermula Dengan Anugerah Enterprise 50 2024

27/02/2024 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) --  SME Corp Malaysia melancarkan anugerah Enterprise 50 (E50) 2024 sebagai menandakan bermulanya pencarian tahunan untuk 50 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terbaik di Malaysia.

“PKS perlu menyepadukan operasi perniagaan mereka dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kerana ia semakin ketara dan akan menjadi trend masa depan global,” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang melancarkan program itu hari ini.

Beliau berkata satu anugerah khas baharu, Anugerah E50 Terbaik (Best E50 Award) untuk Amalan ESG, akan diperkenalkan tahun ini, yang menekankan kepentingan kemampanan dan amalan ESG.

Anugerah E50 Terbaik untuk Usahawan Wanita sedia ada dan Anugerah E50 Terbaik untuk Pengeksport masih kekal, kata kenyataan itu.

Pengerusi SME Corp Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok berkata program itu telah menarik 2,225 peserta setakat ini dan mewujudkan kumpulan pemenang yang terdiri daripada 763 syarikat, yang mana 67 telah disenaraikan di pasaran modal dan ia menghasilkan prestij kepada program berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy berkata anugerah itu telah mempromosikan dan mempamerkan PMKS yang paling berdaya saing dan berdaya tahan, yang mampu menghadapi cabaran global dengan semangat keusahawanan yang sebenar.

Anugerah tahun ini yang bertemakan "Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia", menandakan penganjuran yang ke-24 dan dianjurkan bersama dengan Deloitte Malaysia.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1997, anugerah itu telah mendapat pengiktirafan industri sebagai salah satu platform yang paling diidamkan dan boleh dipercayai bagi melambangkan pencapaian dalam perniagaan dan keusahawanan.​

Syarikat yang berminat dipelawa untuk menghantar pencalonan mereka secara dalam talian melalui platform Sistem Bersepadu Penarafan & Insentif PMKS (MyBPI) sebelum 30 Jun, 2024.

Untuk maklumat lanjut dan kriteria pencalonan, sila lawati www.e50.com.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan