AM

Peruntukan RM6 juta untuk Angkasa tingkat kekuatan koperasi - Anwar

26/07/2024 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM6 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) untuk meningkatkan kekuatan gerakan koperasi di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, beliau berkata RM2 juta diselaraskan melalui peruntukan jualan Rahmah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk Angkasa memperkasakan kegiatan koperasi.

Anwar berkata sejumlah RM2 juta lagi diselaraskan melalui peruntukan Program Sejati MADANI di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk disalurkan kepada koperasi di perkampungan MADANI.

“Kita ada perkampungan MADANI yang ambil jawatankuasa masjid, persatuan belia dan wanita. Saya nak masukkan koperasi dalam kelompok itu dan dalam program berkenaan, RM2 juta disalurkan oleh Angkasa kepada koperasi di bawah,” kata beliau semasa berucap pada majlis penutup Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Anwar berkata RM1 juta pula ialah peruntukan baharu bagi program ASEAN Cooperative sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 kerana beliau mahu gerakan koperasi menjadi antara agenda penting ASEAN tahun depan.

"Penyertaan koperasi (dalam agenda ASEAN) penting untuk menjana kekuatan koperasi pada peringkat antarabangsa," katanya sambil menambah Presiden Angkasa Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah juga merupakan Pengerusi Organisasi Koperasi ASEAN ketika ini.

Anwar berkata RM500,000 lagi diperuntukkan kepada koperasi masjid di desa, manakala baki RM500,000 disalurkan kepada Angkasa untuk menjalankan latihan peningkatan kompetensi koperasi desa.

Beliau turut menekankan kepentingan semua jentera kerajaan untuk membantu memacu gerakan koperasi seluruh negara di bawah Ekonomi MADANI dan tidak seharusnya dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) semata-mata.

Perdana Menteri berkata walaupun perolehan gerakan koperasi negara telah meningkat kepada RM64 bilion, namun masih terdapat ruang untuk dibaiki supaya gerakan koperasi Malaysia setanding dengan negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Finland.

"Harapan saya setinggi gunung, tidak ada sebab mengapa kita tidak dapat mencapai tahap yang lebih baik untuk negara dan rantau kita. Kita mempunyai asas yang cukup baik," kata beliau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Timbalannya Datuk R. Ramanan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Abdul Fattah.

Ewon ketika ditemui media berkata pengumuman peruntukan berkenaan selaras dengan komitmen Perdana Menteri untuk melihat koperasi di negara ini menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi.

“Saya amat yakin peruntukan itu dapat digunakan sepenuhnya oleh Angkasa dan Gerakan Koperasi. KUSKOP akan sentiasa memantau dan memudah cara serta menjayakan hasrat Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Abdul Fattah berterima kasih atas peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri untuk mengangkat martabat koperasi agar menjadi satu daripada instrumen yang boleh digunakan kerajaan bagi menangani masalah kenaikan kos sara hidup.

“Peranan Angkasa pada peringkat antarabangsa apabila Perdana Menteri beri peruntukan untuk program ASEAN, hal ini menunjukkan bahawa Angkasa bukan sahaja diminta main peranan penting pada peringkat negara, malah antarabangsa. Ia permulaan baik kerana Malaysia merupakan Pengerusi kepada Kesatuan Koperasi Bagi Negara di Bawah Pertubuhan Kerajaan Islam (OICCU),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan