AM

Nur-ul Afida Sasar Perkasakan Peranan Bernama Ke Tahap Lebih Tinggi

27/02/2024 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin menyasarkan untuk memperkasakan lagi peranan agensi berita itu ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau yang diumumkan sebagai KPE agensi berita nasional itu yang baharu hari ini berkata, antaranya fokus akan diberikan kepada menambah baik pelaporan berita yang dihasilkan oleh Bernama, selain  membawa perubahan kepada kandungan penyiaran Bernama TV. 

 “Antara usaha yang akan dilaksanakan adalah dengan memperbanyakkan lagi penghasilan berita dan maklumat di peringkat global terutamanya ASEAN, sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

Kita akan terus menambah baik penghasilan berita termasuk memperbanyakkan laporan eksklusif. Saya yakin dengan pasukan Jabatan Pengarang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj dalam melaksanakan perancangan yang ada di semua platform jabatan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dalam kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan Nur-ul Afida dan Arul Rajoo seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Lembaga Pengelola Bernama, dan memaklumkan kekosongan jawatan-jawatan lain akan diputuskan oleh pihak pengurusan. 

Mengulas pelantikan beliau, Nur-ul Afida berkata tanggungjawab sebagai pimpinan agensi berita itu akan dilaksanakan sebaik mungkin. 

“Alhamdulillah...terima kasih kepada Lembaga Pengelola Bernama yang diterajui Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai atas kepercayaan kepada saya sebagai KPE. Insya-Allah saya akan melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Nur-ul Afida yang sebelum ini merupakan Ketua Pengarang Bernama juga berkata bagi tahun ini tumpuan juga akan diberikan kepada beberapa projek utama seperti Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang akan berlangsung di Kuching pada 27 Mei selain program iringan di Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain.

Sementara itu, Arul Rajoo meletakkan misinya untuk memastikan Bernama menghasilkan lebih banyak berita serta kandungan yang berkualiti mengikut aliran semasa selain terus menjadi platform penting dalam menyebarkan maklumat berhubung projek dan inisiatif kerajaan.

"Kita akan meningkatkan usaha untuk mengadakan kandungan yang sesuai dengan anak muda, ada juga unsur-unsur kecerdasan buatan (AI). 

Ramai ingat Bernama ini adalah berita-berita serius sahaja dikeluarkan tetapi pada masa ini, kita sudah memulakan langkah untuk memperbanyak kandungan yang lebih ringan seperti gaya hidup, hiburan, kesihatan dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan