JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Suspek Kes Berasingan Bunuh Teman Wanita, Ibu Direman Tujuh Hari

29/02/2024 02:51 PM

SHAH ALAM, 29 Feb (Bernama) -- Seorang pemandu lori yang disyaki membunuh teman wanita dengan menolaknya dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam malam tadi, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata tempoh reman lelaki berumur 37 tahun itu diperoleh pihaknya daripada Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

"Mahkamah membenarkan tempoh reman terhadap mereka bermula hari ini hingga 6 Mac (Rabu). Kebenaran berkenaan diperoleh daripada Majistret Farah Rosnan," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mohd Iqbal berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian seorang wanita warga Thailand maut dipercayai ditolak teman lelakinya dari tingkat 23 sebuah kondominium pada 10.02 malam dan menurut saksi, berlaku pergaduhan antara suspek dengan wanita itu sebelum ditolak dan terjatuh di tingkat tujuh kondominium berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata perintah reman tujuh hari terhadap seorang lelaki yang dipercayai memukul ibunya menggunakan kasut keselamatan dan tukul besi sehingga meninggal dunia, dikeluarkan oleh Majistret yang sama hari ini.

Suspek berumur 33 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu ditahan di tempat kerjanya di Taman Sentosa, Klang pada 11.30 pagi semalam selepas disyaki memukul ibunya di sebuah rumah di Kampung Jawa, Klang dekat sini hari yang sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan