AM

Js-sez Bantu Lahirkan Lebih Banyak Syarikat Pemula Niaga - Mosti

29/02/2024 08:19 PM

ISKANDAR PUTERI, 29 Feb (Bernama) --  Penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan membantu melahirkan lebih banyak syarikat pemula niaga di Malaysia terutama di negeri Johor.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata pihaknya yakin penubuhan JS-SEZ itu akan memainkan peranan penting dalam membantu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mencapai sasaran menubuhkan sebanyak 5,000 syarikat pemula niaga menjelang akhir tahun 2025.

"Hari ini kita melihat Johor sebagai sebuah negeri yang begitu strategik terhadap pengembangan pemula niaga di negara kita.

"Setakat ini, Malaysia mempunyai 3,000 syarikat pemula niaga, lokasi strategik negara ini yang berdekatan dengan Singapura, ekosistem berkembang pesat, didorong dengan kedudukan strategik, inisiatif kerajaan yang proaktif, ia akan membantu merealisasikan matlamat itu (melahirkan lebih banyak syarikat pemula niaga).

"Johor merupakan pintu masuk strategik untuk syarikat pemula, adalah diharapkan lebih banyak pemula niaga mengambil peluang untuk datang dan mulakan perniagaan di Johor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Mikro MyStartup NXT Johor di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata: “Pencapaian ekonomi Johor telah mendapat pengiktirafan global. Dalam Laporan Indeks Ekosistem Syarikat Pemula Niaga Global StartupBlink, Johor Bahru mencatat pencapaian yang luar biasa, menduduki tempat ke-404 dan berada di kedudukan ke-600 bandar terbaik di seluruh dunia pada tahun 2023”.

“Di Asia Tenggara, Johor Bahru naik sembilan anak tangga ke tempat ke-13 sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai ekosistem ketiga paling aktif di Malaysia. Semangat keusahawanan Johor menjadi sumber inspirasi kerana ia mendapat sokongan daripada kerajaan negeri (Johor)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata MYStartup NXT adalah sebahagian daripada inisiatif MYStartup yang seiring dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (Super) 2021-2030 yang diterajui oleh MOSTI.

Inisiatif MYStartup juga menyumbang kepada matlamat negara untuk menubuhkan 5,000 syarikat permulaan menjelang 2025 dan menempatkan Malaysia menjadi salah satu daripada 20 hab ekosistem permulaan global terbaik menjelang 2030.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan