AM

Ocbc Cycle Kl: Orang Ramai Dinasihat Guna Pengangkutan Awam, Rancang Perjalanan - Polis

29/02/2024 11:30 PM

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) -- Orang ramai dinasihat merancang perjalanan ke ibu negara Ahad ini susulan penutupan 17 laluan sekitar Kuala Lumpur sempena penganjuran acara kayuhan berbasikal OCBC Cycle Kuala Lumpur (KL) 2024.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata orang ramai digalak menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan, Transit Aliran Massa dan perkhidmatan e-hailing Grab.

Beliau berkata laluan utama sekitar Kuala Lumpur akan ditutup serta dibuka secara berperingkat bermula 6 pagi sehingga acara itu berakhir iaitu pada kira-kira 9.30 pagi membabitkan Jalan Raja Dataran Merdeka, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak dan Jalan Lebuh Ampang

Selain itu, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Perak, Jalan P. Ramlee, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Parlimen, Jalan Persiaran Sultan Salahuddin dan Jalan Sultan Salahuddin.

“Seramai 110 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur serta 30 warden trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengawal lalu lintas sepanjang acara itu berlangsung.

“Kayuhan bermula di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan akan berakhir di lokasi yang sama melibatkan dua pusingan sejauh 42 kilometer,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Allaudeen turut menasihati orang ramai untuk mematuhi arahan polis bagi memastikan pengurusan lalu lintas berjalan lancar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan