AM

P. pinang Guna Spaja Untuk Kenal Pasti Dan Baiki Jalan Dengan Lebih Efisien

04/03/2024 03:07 PM

GEORGE TOWN, 4 Mac (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang menggunakan Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar (SPAJa) bagi memantau, mengenal pasti dan membaiki jalan raya rosak, dengan lebih pantas dan efisien di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata fungsi sistem itu yang merekodkan kondisi jalan, unjuran kewangan dan pembaikan serta data perabot jalan, membolehkan pihak agensi melaksanakan kerja pembaikan lebih sistematik serta komprehensif.

“Sebagai pengenalan, sistem SPAJa ini merupakan satu platform yang dibangunkan bagi memantapkan lagi keupayaan agensi teknikal di Pulau Pinang, dalam melaksanakan tugas harian untuk menyelenggara jalan-jalan di negeri ini.

“Sebagai contoh, data kondisi jalan yang berlubang atau rosak sama ada memerlukan pembaikan kadar paling segera atau sebaliknya, akan membantu pihak agensi membuat perancangan pembaikan dengan lebih efektif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan SPAJa Pulau Pinang, di sini hari ini.

Zairil berkata sistem itu, diguna pakai setiap agensi yang melaksanakan kerja penyelenggaraan jalan negeri di Pulau Pinang iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

Zairil berkata SPAJa dibangunkan secara berfasa bermula pada tahun 2020, melalui Projek Pencerapan Data Jalan untuk Pendaftaran Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan Kajian Ketahanan Jalan bagi jalan-jalan di negeri itu, dengan ketika itu sistem tersebut hanya berasaskan web dan perlu menggunakan rangkaian mygovnet sahaja.

“Pada tahun 2021 iaitu fasa berikutnya, sistem SPAJa ini telah ditambah baik dengan ia boleh diakses melalui rangkaian luar dan SPAJa mobile (versi android) juga telah diperkenalkan kepada agensi, dan pembangunan SPAJa mobile ini, dapat memudahkan agensi untuk mengakses data jalan MARRIS di dalam sistem SPAJa secara on the go,” katanya.

Zairil berkata semua koordinat jalan MARRIS di Pulau Pinang yang telah dicerap dan diplotkan jajaran jalan tersebut, disimpan di dalam sistem SPAJa ini dan ia dapat dilayari di atas peta menggunakan google basemap.

Beliau berkata sejak sistem SPAJa fasa pertama bagi Projek Pencerapan Data Jalan Untuk Pendaftaran MARRIS dilaksanakan, jumlah peruntukan MARRIS yang diterima juga telah bertambah sebanyak RM100 juta.

“Iaitu bermula dengan peruntukan hanya RM183.36 juta pada tahun 2019, kini Pulau Pinang telah menerima RM208.77 juta, iaitu peningkatan lebih RM100 juta hasil daripada kerja cerapan, kemas kini dan pendaftaran jalan ke dalam sistem MARRIS.

“Pulau Pinang juga merupakan negeri pertama di Malaysia yang mempunyai data lengkap bagi lebih 6,000 kilometer jalan yang terdapat di negeri ini dalam SPAJa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan