KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Usaha memperkasa wanita perlu terus diperkukuh secara menyeluruh termasuk melalui akses kepada pembiayaan, latihan kemahiran platform digital dan peluang mengembangkan perniagaan bagi meningkatkan daya saing mereka.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan itu penting berikutan golongan berkenaan turut berdepan cabaran dalam ketidaktentuan global yang menjejaskan kos sara hidup dan ekonomi domestik.
“Petang tadi, saya merasmikan Forum Voices of HER yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam satu ruang wacana bermakna bagi membincangkan peranan wanita memperkukuh ekonomi negara. Peranan wanita dalam membina keluarga, memperkasa komuniti dan memacu pertumbuhan ekonomi amat besar.
“Namun, penyertaan sahaja tidak mencukupi. Wanita perlu diberi ruang untuk memiliki peluang, aset serta keupayaan dalam membuat keputusan agar mereka benar-benar berdaya dan mampu memimpin,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata menerusi kerjasama semua pihak dan pendekatan menyeluruh, ekosistem yang lebih inklusif, adil serta mampan dapat dibina bagi memastikan kaum hawa terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
“Insya-Allah, usaha ini akan terus diperkasa demi masa depan negara yang lebih kukuh dan sejahtera,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial