PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) -- Kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan membatalkan kelulusan kad fleet terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan subsidi diesel di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan yang dipengerusikan beliau di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini.
Beliau berkata langkah berkenaan bagi menjamin kelangsungan dan kestabilan bekalan tenaga negara.
“Krisis tenaga global akibat konflik Asia Barat telah meningkatkan risiko penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan khususnya bahan api diesel dan petrol,” katanya pada taklimat krisis tenaga global di KPDN di sini.
Selain itu, Fadillah berkata pelaksanaan SKDS melalui penggunaan kad fleet untuk sektor pengangkutan darat barangan akan diperluas di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air berkata mesyuarat turut bersetuju menetapkan agensi peneraju utama bagi tiga sektor yang dikenal pasti bagi membendung ketirisan iaitu sektor darat akan diterajui KPDN, sektor sempadan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala sektor perairan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Beliau berkata bagi mempertingkat dan memperkukuh kawal selia terhadap aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke pakal atau bunkering, mesyuarat bersetuju menubuhkan pasukan khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Ia akan dipengerusikan secara bersama oleh Setiausaha Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan KPDN negeri menjadi sekretariat kepada kedua-dua pasukan bertindak yang turut melibatkan agensi berkaitan di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata beberapa syor strategik hasil daripada mesyuarat itu juga akan dikemukakan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) secara berkala sebagai langkah tambahan memastikan kestabilan bekalan negara.
Sementara itu, Fadillah berkata Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan dari 16 Mac hingga 5 April telah merekodkan nilai rampasan barangan bersubsidi lebih RM2 juta melibatkan 8,148 pemeriksaan yang membawa kepada pembukaan 155 kes.
“Sebanyak 60 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan lebih RM2.1 juta, 47 kes RON95 (RM51,299), 21 kes gas petroleum cecair (RM37,822) dan 27 kes melibatkan minyak masak, gula dan tepung gandum,” katanya.
Beliau berkata kerajaan peka terhadap ketidaktentuan geopolitik global, khususnya konflik di Asia Barat yang berpotensi besar menjejaskan rantaian bekalan dunia serta mencetuskan ketidakstabilan harga tenaga dan barangan keperluan utama.
“Namun, saya ingin menegaskan di sini bahawa kerajaan tidak akan membiarkan rakyat terkesan akibat gangguan bekalan. Kita telah memperkukuh kesiapsiagaan melalui langkah strategik dan bersepadu bagi memastikan keterjaminan bekalan di pasaran tempatan kekal terkawal,” katanya.
Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Awang Alik Jeman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial