EKONOMI

Dewan Perniagaan Labuan, Jabatan Kastam Labuan Anjur Sesi Dialog Berkaitan Sst

04/03/2024 10:52 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 4 Mac (Bernama) -- Dewan Perniagaan Labuan (LCC) hari mengambil langkah proaktif menganjurkan sesi libat urus antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor dalam landskap perniagaan dan industri Labuan. 

Sesi dialog itu yang dihadiri hampir 60 peserta mewakili sektor terlibat bertujuan untuk menangani kebimbangan mendesak mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Sektor yang terlibat dalam sesi dialog tersebut ialah logistik, penghantaran barang, minyak dan gas, perkhidmatan kewangan, operasi pelabuhan, pembuatan, pembinaan kapal, makanan dan minuman, hiburan, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusi LCC Daniel Doughty berkata, turut hadir wakil dari Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), mencerminkan usaha kolaboratif untuk menyokong Labuan dan komuniti sekitarnya melalui matlamat dan inisiatif bersama.

Dalam sesi libat urus itu Doughty mencadangkan pengecualian SST untuk Labuan, khususnya bagi perkhidmatan logistik barangan ke pulau itu, dan beliau menekankan ekonomi Labuan yang bergantung kepada import.

“Selain itu, peserta menekankan keperluan komunikasi daripada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung rasional di sebalik cukai logistik dan penjajarannya dengan strategi ekonomi Labuan yang lebih luas,” katanya.

Doughty berkata sebagai respons kepada sesi dialog itu, LCC dan UMSKAL komited untuk menyediakan kertas kerja komprehensif yang memperincikan penemuan dan komen pihak berkepentingan komuniti dan perniagaan.

Beliau berkata dokumen berkenaan akan dibentangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri  (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustapha, semasa lawatan seterusnya ke Labuan, menandakan komitmen LCC dalam menjaga kepentingan dan kesejahteraan masyarakat Labuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan