AM

STRATEGI ‘5S’ TAWAR PENGALAMAN MENARIK KEPADA PELANCONG

19/07/2024 06:46 PM

LABUAN, 19 Julai (Bernama) -- Labuan yang juga dikenali  Mutiara Borneo merancang untuk menambat pelancong menerusi strategi ‘5S’ yang bertujuan mengetengahkan budaya serta khazanah alam semula jadi yang terdapat di pulau itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (LC) Rithuan Ismail berkata pendekatan 5S menumpukan kepada lima elemen utama iaitu Matahari, Pasir, Makanan Laut, Pelancongan Sukan, Membeli-belah dan Perkhidmatan yang setiap satu menawarkan pelbagai pengalaman unik kepada pengunjung.

“Labuan menawarkan suasana matahari terbit dan terbenam yang memukau sekali gus mencipta detik indah serta menarik buat jurugambar amatur dan profesional. Lokasi yang strategik dengan pemandangan horizon amat sesuai untuk mereka yang gemarkan ketenangan dan keindahan suasana senja,” katanya dalam temu bual dengan Bernama hari ini.

Beliau berkata destinasi popular seperti Pantai Sungai Miri, Peace Park dan Surrender Point di Pantai Layang-Layangan memberi peluang pengunjung menikmati sudut pandang berbeza dan menakjubkan, manakala pantai yang bersih serta indah sesuai untuk rekreasi dan bersantai.  

Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti menyelam dan snorkel di perairan jernih di Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Papan.

"Perjalanan ke Labuan tidak lengkap tanpa menikmati keenakan makanan laut dengan harga berpatutan memandangkan pulau ini terkenal dengan pelbagai jenis hidangan laut yang enak,” kata Rithuan.

Beliau berkata Labuan sedang mencipta gelombang dalam arena pelancongan sukan dengan acara sukan laut antarabangsa tahunan dan kejohanan golf. 

“Cabaran Laut Antarabangsa Labuan (LISC) yang menampilkan acara seperti memancing, berkayak dan renang menarik penyertaan dari seluruh dunia," katanya sambil menambah Labuan turut menawarkan pengalaman membeli-belah di pulau bebas cukai ini yang menawarkan pelbagai jenis coklat dan tekstil keluaran tempatan mahupun yang diimport," katanya.

Pelaksanaan strategi 5S menjadi bukti komitmen Labuan untuk meningkatkan sektor pelancongan.

Dengan memanfaatkan keindahan alam semula jadi, penganjuran acara sukan, pengalaman membeli-belah dan pelbagai jenis juadah makanan, pulau ini mahu menarik lebih ramai pelancong sekali gus menjadikan Labuan sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan