SUKAN

Prapemilihan Silat Sukma 2024 Diadakan Semula Di Perlis Bulan Depan - Pesaka

05/03/2024 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pertandingan prapemilihan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sikamat, Negeri Sembilan yang dibatalkan Sabtu lepas susulan kematian seorang pesilat Terengganu, dijadual diadakan semula di Perlis bulan depan.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Bibi Aishah Golbal Shah berkata Pesaka perlu memilih 30 atlet dari setiap negeri pada kejohanan tersebut sebelum tarikh pendaftaran ke SUKMA 2024 di Sarawak ditutup Mei ini.

“Segala keputusan di Sikamat dibatalkan dan Insya-Allah pertandingan prapemilihan SUKMA 2024 akan dilakukan sebelum Mei ini.

“Kami akan mencari 30 atlet dari setiap negeri bagi menyertai 26 acara dipertandingkan merangkumi lapan silat seni dan 18 silat olahraga pada SUKMA 2024 di Sarawak,” katanya kepada Bernama.

SUKMA 2024 dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 5 petang Sabtu, pesilat Terengganu Wan Muhammad Haikal Wan Hussin jatuh di atas gelanggang ketika pertandingan berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat.

Atlet berusia 20 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.20 pagi Ahad dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Selising, Jertih, Terengganu, kira-kira 10 malam, hari sama.

Sementara itu, Bibi Aishah mengesahkan Pesaka telah menyerahkan segala maklumat berhubung insiden di Sikamat kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Ahad lepas.

“Tiada lagi maklumat yang perlu diserahkan lagi kepada MSN, semua telah diberikan Ahad lepas,” katanya.

Walaupun penganjur pertandingan prapemilihan Sukma  telah mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, namun Bibi Aishah mengakui tragedi menimpa pesilat muda itu sesuatu yang sukar dielakkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan