EKONOMI

Solarvest Akan Pasang Sistem Kuasa Solar Di Lebih 300 Stesen Petronas

05/03/2024 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Cabang tenaga hijau Petronas, Gentari Sdn Bhd, melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd untuk memasang sistem kuasa solar di lebih 300 stesen Petronas di seluruh negara.

Solarvest dalam satu kenyataan berkata projek itu yang dianugerahkan oleh anak syarikat Gentari, Gentari Renewables Sdn Bhd, merupakan satu pencapaian utama dalam usaha peralihan tenaga Malaysia, menyumbang kepada matlamat tenaga bersih negara.

“Ia menunjukkan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang semakin meningkat dalam industri minyak dan gas serta mengukuhkan kedudukan Solarvest sebagai pemain utama dalam peralihan tenaga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Projek itu yang dijangka bermula bulan depan akan menyaksikan pemasangan kapasiti solar lebih daripada 5.4 megawatt puncak (MWp) di lebih daripada 300 stesen Petronas.

“Sistem solar ini dijangka beroperasi pada 2027 dan dianggarkan mengimbangi sekitar 5,035 tan pelepasan karbon dioksida setahun,” katanya.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Davis Chong Chun Shiong berkata operasi minyak dan gas kini menyumbang kira-kira 15 peratus daripada jumlah pelepasan berkaitan tenaga di seluruh dunia, bersamaan dengan 5.1 bilion tan pelepasan gas rumah hijau.

“Projek ini menunjukkan potensi tenaga solar untuk menyahkarbon operasi perniagaan bahan api runcit.

“Perniagaan di Asia Tenggara sedang giat mencari penyelesaian untuk mengemudi peralihan tenaga. Dengan mengguna pakai penyelesaian tenaga boleh baharu seperti sistem fotovoltaik solar, perniagaan mengambil langkah padu bagi memacu kelestarian dan mengurangkan impak alam sekitar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan