EKONOMI

PERDAGANGAN LNG MALAYSIA DIJANGKA TERUS BERKEMBANG BERIKUTAN PETRONAS TINGKATKAN PELABURAN DI LUAR NEGARA

19/07/2024 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Peranan Malaysia dalam perdagangan gas asli cecair (LNG) di peringkat global dijangka terus berkembang apabila Petronas meningkatkan pelaburan dalam projek-projek LNG di luar negara, didorong oleh prospek pertumbuhan permintaan global jangka panjang.

BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, menjangka perniagaan perdagangan LNG Malaysia akan terus berkembang berikutan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berusaha untuk meningkatkan portfolio LNG di peringkat global melalui pelaburan dalam projek-projek LNG di luar negara.

“Petronas telah melabur dalam projek Gladstone di Australia dan LNG Kanada. Pelaburan asing terkini Petronas dalam projek LNG di luar negara sebanyak 15 peratus untuk penyertaan ekuiti dalam kontrak pengeluaran dan perkongsian (PSC) Masela, yang termasuk projek LNG Abadi sebanyak 9.5 juta tan setahun (mtpa) di Indonesia.

“Kerajaan Indonesia meluluskan pelan pembangunan Masela pada Disember 2023 serta Petronas dan rakan kongsinya masih belum membuat keputusan pelaburan muktamad (mengenai projek LNG Abadi),” katanya dalam nota hari ini.

Pada September 2022, Petronas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan YPF milik Argentina untuk membangunkan projek LNG 5.0 mtpa di Bahia Blanca dalam fasa pertama.

Pada September 2023, pemain swasta Malaysia, Bumi Armada, telah menandatangani perjanjian dengan anak syarikat perdagangan gas asli Pertamina, PT Davenergy Mulia Perkasa, untuk sama-sama membangunkan projek LNG terapung menggunakan gas suapan dari Madura dan kawasan sekitarnya di Indonesia.

Bagaimanapun, katanya pelan pelaburan itu berada di peringkat awal pembangunan dan belum mencapai kemajuan lebih lanjut. 

Menurut BMI, Petronas juga menyasarkan untuk memasuki China dan pasaran sedang pesat membangun yang lain, beralih tumpuan daripada Jepun kerana pasaran ini menjadi semakin penting kepada Petronas untuk mengekalkan eksport LNG.

“China kini secara meluas dianggap sebagai pasaran LNG yang berkembang pesat dan masih menawarkan peluang yang besar untuk eksport LNG.

“Pada akhir April 2024, Malaysia mempunyai bahagian pasaran yang terhad dalam pasaran LNG China, menyumbang 11.5 peratus daripada jumlah import LNG China, yang jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain, Australia (32.5 peratus) dan Qatar (25.9 peratus),” katanya.

Petronas kini hanya mempunyai satu perjanjian jual beli (SPA) LNG jangka panjang dengan China National Offshore Oil Corporation (CNOOC) selepas SPA dengan JOVO Energy tamat pada 2023.

Sejak 2021, Malaysia telah mengeksport LNG ke China pada kadar 150-190 peratus lebih tinggi daripada jumlah yang ditetapkan, merapatkan jurang dengan Jepun.

“Selain China, Petronas mempunyai kontrak jangka panjang selama 15 tahun dengan PTT Thailand untuk 1.2 mtpa. Eksport LNG ke Thailand boleh meningkat berikutan minat Thailand terhadap LNG semakin meningkat dan PTT sedang menambah kapasiti pengegasan semula LNG.

“Petronas telah mengeksport LNG ke Taiwan (Tanah Besar China), Bangladesh, Singapura dan Pakistan. Petronas telah memasuki Filipina pada 2023 dan Vietnam boleh menjadi sasaran pasaran LNG yang seterusnya, membolehkannya meningkatkan kedudukannya dalam pasaran LNG,” menurut BMI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan