AM

K'JAAN SENTIASA ADA BANTUAN KEWANGAN UNTUK USAHAWAN - RAMANAN

08/03/2024 04:24 PM

SUNGAI BULOH, 8 Mac (Bernama) -- Usahawan kecil tidak perlu risau mengenai aspek modal kerana kerajaan sentiasa mempunyai skim bantuan kewangan khusus untuk mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata mereka hanya perlu menghubungi pejabat khidmat kawasan Parlimen masing-masing untuk membantu dalam proses permohonan.

"Untuk kawasan Parlimen saya (Sungai Buloh), mereka boleh datang ke pejabat pusat khidmat, ada pegawai yang akan bantu mereka membuat permohonan mengikut keperluan mereka.

"Kita ada Amanah Ikhtiar, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan agensi-agensi lain (di bawah kementerian) yang akan tolong," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program penyerahan kelengkapan sekolah anjuran Bank Rakyat kepada murid kurang berkemampuan di sekitar Sungai Buloh di sini, hari ini.

 Beliau berkata kaedah permohonan bantuan juga telah dipermudahkan sejak tahun lepas.

"Kebiasaan mereka (usahawan) tidak tahu perlu pergi ke mana atau agensi yang sepatutnya dihubungi, sekarang kita sudah mudahkan banyak perkara.

"Kalau dulu contoh daripada TEKUN, permohonan pinjaman perlu isi 17 dokumen tapi sekarang kita kurangkan kepada empat dokumen sahaja, iaitu lesen perniagaan, gambar premis perniagaan, kad pengenalan dan penyata bank," katanya.

Pada program hari ini Bank Rakyat menyerahkan bantuan kelengkapan sekolah berjumlah keseluruhan RM30,000 kepada 300 murid kurang berkemampuan dari 10 sekolah di sekitar kawasan Sungai Buloh.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata setiap murid menerima set kelengkapan sekolah bernilai RM100 yang berupa beg sekolah dan alat tulis.

"Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak-anak yang masih bersekolah, selain membolehkan murid daripada golongan keluarga berpendapatan rendah menyambung pendidikan," katanya ketika berucap.

Ramanan turut menaja kos pembukaan Akaun Simpanan-i Nuri Bank Rakyat  sebanyak RM20 bagi setiap murid yang menerima bantuan bagi menggalakkan amalan menabung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan