AM

LEBIH 28,000 USAHAWAN INDIA MANFAAT SPUMI - RAMANAN

12/03/2024 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Sebanyak 28,439 usahawan masyarakat India telah memanfaatkan Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sejak dilancarkan pada 2008 hingga Januari lepas melibatkan peruntukan RM442.6 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan berkata pada tahun ini, sebanyak RM30 juta telah disediakan di bawah SPUMI yang dijangka memanfaatkan 1,600 usahawan masyarakat berkenaan. 

“Bagi 2023 walaupun hanya diperuntukkan sebanyak RM30 juta, TEKUN Nasional telah menggunakan dana dalaman sebanyak RM11.6 juta menjadikan keseluruhan pembiayaan SPUMI tahun itu berjumlah RM41.6 juta.

“Tahun ini juga kita ada meminta (peruntukan) tambahan, namun jika tidak dapat kita akan memohon dana dalaman seperti yang telah dibuat pada tahun lepas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang ingin tahu jumlah penerima manfaat di bawah SPUMI hingga kini serta usaha penambahbaikan oleh Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) supaya lebih ramai penerima dalam kalangan masyarakat India dapat memanfaatkannya.

Ramanan berkata KUSKOP sentiasa mengadakan kerjasama dengan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI) serta persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan hebahan mengenai skim pembiayaan itu.

“Kita juga menyediakan kaunter khidmat nasihat semasa program pameran atau program keusahawanan anjuran kementerian dan agensinya seperti Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) serta Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Selain itu, melalui penganjuran Karnival Tekun MADANI Selangor yang diadakan pada 1 hingga 3 Mac lepas, kementerian juga telah memberi penjelasan secara langsung tentang SPUMI serta mempromosikannya melalui laman sesawang dan media sosial rasmi TEKUN Nasional,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan