IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata ia bagi memastikan pemasangan mengikut spesifikasi yang akan ditetapkan untuk keselamatan.
Beliau berkata garis panduan itu juga akan melibatkan pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
"Kita akan bentangkan mengenai jarak antara panel, saiz yang sesuai, kelompokan panel dan lain-lain perkara teknikal ketika pemasangan panel solar di rumah mahupun mana-mana premis," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji JBPM Perak dekat sini hari ini.
Nor Hisham berkata banyak yang boleh dipelajari daripada kebakaran Mydin Manjoi baru-baru ini yang dilihat perlunya ada kawalan atau garis panduan sesuai dalam pemasangan panel solar.
"Ketika kebakaran di Mydin Manjoi, pasukan bomba tidak boleh lakukan tebukan manual pada bumbung pasar raya itu akibat panel solar yang bercantum untuk tujuan pengudaraan.
“Apabila kita tidak boleh buat tebukan secara manual kepada bumbung, kita sukar nak kesan api. Ini antara penemuan yang kita kenal pasti dan perkara inilah yang kita kena letakkan dalam garis panduan kelak," katanya.
Dalam pada itu Nor Hisham berkata bomba mengenal pasti kebakaran Mydin Manjoi pada 10 Mac lepas berpunca daripada satu daripada panel pembahagi elektrik di bangunan itu.
Sementara itu beliau berkata JBPM akan menumpukan kepada 652 titik panas kebakaran seluruh negara susulan musim kemarau ketika ini termasuk tapak pelupusan sampah, hutan dan kawasan gambut.
"Ada tiga negeri yang merekodkan kebakaran terbuka yang besar iaitu Selangor, Johor dan Sarawak, jadi kita akan beri tumpuan kepada lokasi-lokasi hotspot yang dikenal pasti," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial