EKONOMI

Larangan Pengimportan Minyak Sawit Sebagai Biobahan Api Oleh Eu Dilihat Berat Sebelah

21/03/2024 04:56 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Larangan pengimportan minyak sawit sebagai sumber biobahan api oleh Kesatuan Eropah (EU) menjelang 2030 dilihat berat sebelah dan akan mewujudkan sekatan yang tidak sewajarnya, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani. 

Beliau berkata larangan itu juga bertentangan dengan amalan perdagangan bebas kerana melanggar prinsip-prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) iaitu Halangan Teknikal kepada Perdagangan (TBT) dan Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan 1994 (GATT). 

“Larangan ini (turut) dilihat mempunyai kekurangan dari segi ketelusan, kebolehpercayaan saintifik dan terdapat banyak andaian yang dibuat memberikan gambaran yang tidak tepat terhadap amalan kemampanan yang dipraktikkan dalam industri biobahan api negara,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.  

Beliau menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang ingin mengetahui sama ada keputusan WTO terhadap rayuan Malaysia berkenaan diskriminasi EU terhadap minyak sawit masih membenarkan EU untuk melaksanakan Akta Delegasi yang mengharamkan minyak sawit sebagai biobahan api menjelang 2030.

Johari berkata keputusan yang telah dibuat oleh WTO menunjukkan tiada pihak yang menang.

“Ada 20 isu yang berkaitan dengan perkara ini...10 dimenangi oleh EU manakala 10 lagi dimenangi oleh Malaysia,” katanya. 

Beliau menjelaskan Indonesia dan Malaysia telah memfailkan aduan kepada WTO ke atas tindakan EU dan Indonesia telah memfailkan aduan pada 9 Dis 2019 manakala Malaysia memfailkan aduan pada 15 Jan 2021 (kira-kira 13 bulan selepas Indonesia). 

“Pada pendapat saya, Malaysia tidak sepatutnya mengambil tindakan sedemikian. Hal ini kerana Akta Delegasi di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui II (RED II) menyasarkan biobahan api yang berasaskan minyak sawit dan tidak menyentuh isu-isu kemampanan berkaitan minyak sawit secara umum,” katanya.  

Berdasarkan Akta Delegasi di bawah RED EU II, minyak sawit telah dikategorikan sebagai mempunyai kadar perubahan guna tanah secara tidak langsung (ILUC) yang tinggi.

Pengimportan minyak sawit sebagai sumber biobahan api oleh EU akan dilarang sepenuhnya menjelang 2030 sekiranya masih dikategorikan sebagai mempunyai kadar ILUC yang tinggi.

Johari berkata Indonesia adalah antara pengeluar biobahan api utama di dunia — PME (Palm Methyl Esters) merupakan input adunan biobahan api utama di Indonesia dan Malaysia.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh OilWorld, pada 2023, dianggarkan 25.2 peratus (12.2 juta tan) daripada pengeluaran Minyak Sawit Mentah (MSM) Indonesia (48.4 juta tan) diproses untuk menghasilkan PME.

Katanya pada tempoh yang sama, hanya 7.7 peratus (1.4 juta tan) daripada pengeluaran MSM Malaysia diproses untuk menghasilkan PME.  

“Sebab itu, apabila keputusan diumumkan, Indonesia telah mengambil pendirian bahawa apabila Malaysia turut memfailkan isu ini kepada WTO, Indonesia membuat keputusan untuk menarik balik (tindakan memfailkan kes),” katanya. 

Beliau berkata banyak masyarakat di luar sana kurang memahami isu tersebut dan ia menampakkan seolah-olah kelapa sawit Malaysia lebih teruk daripada Indonesia walhal sebenarnya Indonesia yang menarik balik kes mereka.

“Sebab itu saya berpendapat pada waktu kita memfailkan (kes ini) dulu, kita sepatutnya membenarkan Indonesia meneruskan aduannya dan kita memberi sokongan sahaja kerana Indonesia adalah pemain besar dalam biodiesel ini,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata standard Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) adalah lebih baik berbanding Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) berikutan MSPO meliputi spektrum luas untuk semua ladang sawit termasuk pekebun kecil.

“Bukan sahaja ladang besar tetapi juga meliputi pekebun kecil. Justeru, apa yang saya nak tekankan ialah libat urus yang perlu dibuat.

“Saya percaya jika kita mengadakan libat urus, semua produk sawit kita apabila mereka (EU) menerima MSPO ini, ia menjadi sebahagian daripada prasyarat untuk sesiapa yang ingin mengeksport.

“Pada masa ini, mereka yang boleh mengeksport adalah mereka yang mempunyai RSPO, terutamanya  ladang besar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan