EKONOMI

KADAR TANAM SEMULA LEBIH BAIK BOLEH TINGKAT MINYAK SAWIT MALAYSIA SEBANYAK 2.5 JUTA TAN

19/07/2024 08:49 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 19 Julai (Bernama) -- Kadar penanaman semula yang lebih baik bagi kawasan kelapa sawit peringkat tua boleh meningkatkan pengeluaran minyak sawit tahunan Malaysia sebanyak 2.5 juta tan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau menyatakan kebimbangan mengenai kadar penanaman semula yang rendah oleh pekebun kecil bebas, yang berjumlah kira-kira 450,000 dan mempunyai kawasan penanaman seluas 1.5 juta hektar.

“Penanaman semula kami mengalami penyusutan ketara. Berdasarkan piawaian industri, kami perlu menanam semula sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus tetapi purata nasional kami hanya kira-kira 1.8 peratus,” katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.

Beliau berkata usaha meningkatkan kadar penanaman semula mengikut piawaian industri akan menambah lebih 2.5 juta tan kepada jumlah pengeluaran minyak sawit.

Johari berkata memandangkan Malaysia mengikut piawaian minyak sawit mampan, negara tidak akan membuka kawasan baharu untuk perladangan, sebaliknya akan menumpukan hasil yang lebih tinggi bagi kawasan penuaian semasa seluas 5.7 juta hektar.

Litupan hutan Malaysia, iaitu 54 peratus pada masa ini, tidak boleh berkurang di bawah 50 peratus sebagai sebahagian daripada komitmen iklim negara, katanya.

Beliau berkata Malaysia sedang melaksanakan beberapa inisiatif seperti tumpuan yang lebih besar kepada penyelidikan dan pembangunan, lebih banyak penanaman semula dan penyatuan pegangan daripada kalangan pekebun kecil untuk meningkatkan pengeluaran.

Malaysia mengeluarkan 18.6 juta tan minyak sawit pada 2023 berbanding kira-kira 20 juta tan sedekad lepas.

Sementara itu, Malaysia dan India membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor minyak sawit.

Johari dan Menteri Pertanian India Shivraj Singh Chouhan bertemu pada Khamis untuk membincangkan peluang dalam bidang pertanian secara terperinci, termasuk kerjasama dalam usaha India yang dikenali sebagai Misi Kebangsaan bagi Minyak Makan - Kelapa Sawit.

Mengikut skim yang dilancarkan pada 2021 itu, India menyasar untuk memperluas kawasan penanaman kelapa sawit berlipat ganda sebagai sebahagian usahanya untuk mengurangkan pergantungan kepada minyak makan yang diimport.

Terdahulu, semasa persidangan industri, Johari berkata Malaysia boleh menyediakan kepakaran dalam meningkatkan penanaman kelapa sawit di India.

“Dalam usaha itu, Malaysia boleh menyediakan kepakaran dalam meningkatkan hasil tanaman, menukar tanah yang kurang dimanfaatkan kepada ladang kelapa sawit yang produktif, dan memupuk pertumbuhan penanaman kelapa sawit,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan