EKONOMI

PELAKSANAAN PROJEK TBB MIDA-MASDAR BERDASARKAN ATURAN KOMERSIAL - FADILLAH

27/03/2024 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan usaha sama pembangunan sehingga 10 gigawatt (GW) projek tenaga boleh baharu (TBB) di Malaysia yang ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan syarikat dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi Future Energy Co PJSC (Masdar) merupakan aturan komersial antara kedua-dua entiti.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sehubungan itu, perancangan dan pelaksanaan usaha sama projek itu akan ditentukan oleh kedua-dua pihak berkaitan.

“Bagaimanapun, kerajaan berpegang kepada ketetapan dasar bahawa kelulusan bagi pembangunan projek TBB di negara ini perlulah dilaksanakan secara telus, adil dan berdasarkan ketetapan regulatori semasa.

“Oleh itu, pelaburan pihak Masdar, sebagaimana syarikat pemaju tenaga boleh baharu yang lain di negara ini, perlu dilakukan menerusi penyertaan program TBB sedia ada yang sedang dan akan dilaksanakan,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berhubung pelaksanaan usaha sama tersebut dan pihak yang bertanggungjawab untuk ‘off take’ TBB.

Fadillah berkata program TBB itu ialah Program Solar Berskala Besar untuk pembangunan solar berskala utiliti, Program Tarif Galakan untuk pembangunan sumber bukan solar, Program Pengaturan Penghantaran Dipertingkat Baharu untuk pembangunan sumber bukan solar dan Program Solar Atas Bumbung untuk pemasangan solar di bumbung premis bangunan.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan sedang merancang dan merangka pelaksanaan akses pihak ketiga (TPA) bagi membolehkan pemaju membekalkan TBB secara terus kepada pengguna dengan menggunakan infrastruktur grid syarikat utiliti.

Oleh itu, katanya ‘offtaker’ TBB bagi syarikat pelabur itu akan ditetapkan berdasarkan jenis program TBB yang disertai pihak syarikat.

“Umpamanya sekiranya syarikat menyertai Program Solar Berskala Besar, maka offtaker tenaga adalah pihak utiliti atau TNB. Sekiranya pelabur menyertai program solar di bumbung, maka offtaker tenaga di bawah program ini adalah pengguna elektrik sendiri.

“Sekiranya syarikat menyertai program TPA kelak, maka pengguna korporat yang mempunyai ikatan kontrak dengan pemaju adalah offtaker bagi TBB yang dijana,” katanya.

Secara keseluruhannya, katanya kemasukan kapasiti baharu oleh syarikat Masdar dan syarikat pemaju TBB yang lain perlu berdasarkan perancangan dan pembangunan penjanaan bekalan elektrik yang dipersetujui oleh kerajaan dan diperhalusi secara teliti dengan mengambil kira semua aspek ekonomi, teknikal dan kawal selia.

Fadillah berkata pendekatan ini akan memastikan kemasukan sumber solar yang bersifat ‘’intermittent”, tidak akan menjejaskan keupayaan dan keselamatan sistem dan infrastruktur grid, menyediakan peluang dan persaingan yang adil serta saksama di samping menjaga kepentingan pemain industri TBB tempatan.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan pembekalan elektrik termasuk daripada sumber TBB adalah pada kadar yang kompetitif dan tarif yang munasabah kepada keseluruhan pengguna elektrik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan