EKONOMI

Projek Gamuda Di Taiwan Tidak Terjejas Dengan Gempa Bumi - Rhb Ib

04/04/2024 03:16 PM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Projek Gamuda Bhd di Taiwan tidak terjejas akibat gempa bumi yang melanda Hualien County semalam, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Firma penyelidikan itu berkata tapak pembinaan projek Gamuda terletak jauh dari Hualien County iaitu sekurang-kurangnya 200 kilometer dari pusat gempa.

“Tiada impak besar akibat gempa bumi kerana tapak Gamuda sedia ada hanya merasakan magnitud empat hingga 4.5 pada skala Richter, yang menerima gegaran seperti gempa bumi ringan tetapi secara amnya tidak menyebabkan kerosakan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Sehingga akhir Januari, usahanya di Taiwan merangkumi nilai sejumlah RM4.5 bilion daripada enam kontrak atau 19 peratus daripada RM24 bilion nilai tempahan dalam tangan Gamuda.

Daripada enam kerja-kerja yang sedang dijalankan di Taiwan, projek berkaitan rel mempunyai kadar penyiapan satu peratus dan ke bawah, menunjukkan bahawa kerja-kerja utama seperti terowong mungkin belum dimulakan, kata firma itu. 

Projek rel tersebut adalah MRT Kaohsiung (RM3 bilion dengan 88 peratus syer efektif) yang diperoleh pada Oktober 2023, dan projek Kereta Api Bawah Tanah TaoYuan City (RM1.3 bilion dengan 60 peratus syer efektif) yang diraih pada Oktober 2022 .

Gamuda juga terlibat dalam pembinaan struktur di Taiwan seperti penambakan tembok laut, jambatan marin dan sambungannya yang mana, ia menyaksikan penyiapan antara 75 peratus hingga 90 peratus menjelang Januari 2024.

Sementara itu, firma penyelidikan itu mengekalkan pendirian 'beli' ke atas Gamuda dengan harga sasaran pada paras RM6.30.

Bagaimanapun, risiko utama mungkin terdiri daripada perolehan kerja-kerja luar negara yang agak lembap daripada jangkaan.

Sehingga 12.30 tengah hari, harga saham Gamuda naik enam sen kepada RM5.32 dengan 2.18 juta saham didagangkan di Bursa Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan