AM

KERJAYA DALAM BIDANG HARTANAH KINI MENJADI PILIHAN RAMAI  

20/07/2024 10:58 PM

BANGI, 20 Julai (Bernama) -- Kerjaya dalam bidang hartanah sedang mengalami peningkatan yang signifikan berikutan perkembangan pasaran yang semakin pulih ketika ini.

Pengarah Urusan AFZ Realty Sdn Bhd Afizan Mohktar berkata ini termasuk kerjaya sebagai perunding hartanah yang semakin diperlukan untuk memastikan kesinambungan dan keberkesanan pembangunan hartanah.

“Terdapat ramai ejen (perunding) baru daripada pelbagai bidang pendidikan yang berbeza memilih kerjaya ini sebagai pilihan utama pada masa kini. 

“Mereka bukan sahaja sebagai barisan hadapan dalam transaksi hartanah, tetapi juga sebagai penggerak utama dalam memajukan industri ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Gala Crazy Rich AFZ Realty di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengarah Agensi (Agency Director) AFZ Realty Mohd Aiman Elmidin Shamsudin dan Ketua Operasi Asyraf Ja’afar.

Justeru, melangkah ke depan, Afizan berharap AFZ Realty selaku antara firma hartanah Bumiputera dalam negara, dapat mengecapi kejayaan yang lebih baik pada tahun-tahun akan datang, mengambil kira perkembangan semasa terbabit.

Sementara itu, Mohd Aiman berkata kerjaya sebagai perunding hartanah boleh menjanjikan pendapatan yang lumayan selagi mempunyai tahap kerajinan tinggi, tanpa perlu berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari pekerjaan. 

“Sekarang ini pun kita (AFZ Realty) sudah bertapak di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di daerah-daerah kecil seperti Mersing (Johor) dan Kemaman (Terengganu) kerana terdapat permintaan di situ. Ini membuktikan ia boleh lagi pergi jauh di masa hadapan,” katanya. 

Majlis hari ini merupakan momentum penting bagi AFZ Realty untuk menghargai usaha dan pengorbanan semua pihak, termasuk rakan strategik seperti peguam dan jurubank, yang telah membantu mereka berkembang dalam industri hartanah sepanjang tahun lepas.

AFZ Realty, yang bukan sahaja berpangkalan di Seri Kembangan, Selangor, tetapi juga mempunyai cawangan di seluruh Semenanjung, menawarkan perkhidmatan yang meliputi bukan sahaja agensi hartanah, tetapi juga penilaian dan pengurusan hartanah.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan