AM

KEMARAU PAPAR: KADAR KEMASINAN DI LRA EWSS LIMBAHAU TURUN, RAWATAN AIR DIJALANKAN SEMULA

07/04/2024 03:45 PM

PAPAR, 7 April (Bernama) -- Pengisian tangki Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) di Kampung Limbahau di sini sedang dilakukan untuk memulakan proses rawatan air berikutan tahap kemasinan muka sauk telah turun, sebelum air dirawat dapat disalur ke paip awam.

Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata kadar bacaan air masin atau klorida sumber air mentah di muka sauk LRA EWSS Limbahau telah berada di bawah 120 mg/l pagi ini ekoran hujan lebat yang agak lama di Papar semalam.

"Kita doakan hujan terus turun hari ini supaya kadar klorida akan terus menurun dan LRA akan kembali beroperasi seperti biasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata operasi LRA EWSS Limbahau terpaksa dihentikan pada 17 Feb lepas selepas sumber air mentah yang sampai ke muka sauk LRA itu mempunyai kadar kemasinan amat tinggi.

Beliau berharap ramalan hujan pada bulan ini adalah tepat dan umat Islam akan dapat menyambut Aidilfitri dengan ada bekalan air sempurna.

Sebelum ini dilaporkan pemberhentian operasi LRA EWSS Limbahau dan LRA Jetama menyebabkan gangguan bekalan air terhadap lebih 50,000 penduduk dan antara penyelesaian dikenal pasti ialah membina muka sauk alternatif di Kampung Kabang dengan kos RM20 juta, yang telah diluluskan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Pada 13 Mac lepas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Papar dalam kenyataan mengisytiharkan Papar, terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu, sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas melanda kawasan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan