AM

Gif2024 Sasar 150,000 Pengunjung

11/04/2024 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Global Indian Festival 2024 (GIF 2024) yang dianjurkan buat kali ke-19 menyasarkan seramai 150,000 pengunjung.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Agenda Suria Communication Sdn Bhd selaku penganjur karnival Jaggarao Simancha berkata pameran yang bermula dari semalam hingga Ahad ini bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab untuk mempromosikan budaya India di rantau ini. 

“Jika kita lihat pameran ini, sejak tahun 2003, purata kehadiran pengunjung lebih kurang lima juta orang, manakala jumlah peniaga mencapai 3,000 orang. Malah, festival ini bukan sahaja menarik minat masyarakat India tetapi juga Melayu, Cina dan pelancong asing.

"Pameran ini bukan sahaja bertujuan mempamerkan kebudayaan masyarakat India (seperti pakaian, makanan dan tarian) tetapi juga menyediakan platform bagi peniaga-peniaga daripada pelbagai latar belakang, termasuk masyarakat India dan bangsa lain untuk mencari rezeki," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian GIF 2024 yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Klang V.Ganabatirau di sebuah pusat membeli-belah di sini hari ini.

Pada festival tahun ini, selain menyediakan pelbagai aktiviti menarik acara kali ini juga menyaksikan penyertaan lebih 120 vendor yang menawarkan pelbagai jenis pakaian dan aneka makanan.

Bagi Ismail Khan Ahmad Khan, 69, dia teruja dapat mengunjungi festival ini kerana selain barang-barang dijual dengan harga yang murah ia juga mempunyai keunikan tersendiri.

“Saya memang setiap tahun datang ke pameran ini. Kalau kita lihat barang-barang yang dijual ini murah dan rekaan pakaian mereka unik dan bertukar setiap tahun.

“Dalam masa yang sama, saya juga dapat mengenali budaya masyarakat India dengan lebih dekat,” katanya.

Sementara itu bagi wanita warganegara India, Nisha Tated, 49, beliau mengakui pameran seperti ini sedikit sebanyak mengubat kerinduannya kepada negara kelahirannya. 

"Saya berasa seperti berada di Little India apabila datang ke festival ini. Saya melihat banyak masyarakat India, makanan seperti panipuri dan manisan yang serupa dengan di India. Saya menyukainya," katanya yang bekerja sebagai guru bahasa Hindi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan